Ahad, 15 September 2019

‘Kaum Cina kaut ekonomi negara’

fazleen safina  

 

Siapa yang 'kawal' peniaga-peniaga di Kuala Lumpur, soal Ismail Sabri


KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri mengakui kaum Cina pada hari ini masih lagi mendominasi dan mengaut ekonomi di Malaysia.

Beliau berkata, dari aspek peratusan ternyata kaum Cina mendahului jumlah lebih tinggi berbanding Bumiputera, walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) hanya meminta untuk menguruskan dan memiliki sekurang-kurangnya 30 peratus daripada semua jenis peringkat kegiatan ekonomi.

“Tak usahlah kita lihat dari segi peratus, lihat bangunan tinggi di ibu negara siapa punya? Siapa yang ‘kawal’ peniaga-peniaga di Kuala Lumpur?

“Itu sudah memadai kalau kita lihat secara mata kasar. Memang mereka yang menguasai ekonomi,” katanya ketika ditemui Ismaweb.net pada Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan mengatakan kaum Cina sedang mendominasi dan mengaut ekonomi negara.

Sementara itu, mengulas mengenai kontrak sosial Ismail percaya ianya masih lagi relevan pada masa kini kerana keamanan dapat dikekalkan melalui perjanjian itu, selain dapat memberi hak kepada bukan sahaja Bumiputera, malah kaum lain juga tidak ketinggalan.

Beliau yang juga ketua pembangkang berkata, perjanjian yang dahulunya telah dipersetujui dan dibuat secara bersama sebelum kemerdekaan lagi telah menyebabkan Perlembagaan dibentuk, dan dari situ negara kita menjadi aman damai.

Pada masa sama, Ismail turut membidas sesetengah kaum yang cuba mempertikaikan kontrak sosial dan menuntut hak sama rata seperti bangsa Melayu dan Bumiputera.

“Kalau masing-masing cuba nak rombak, kaum lain nak ambil hak orang Melayu dan itu akan menimbulkan tentangan dan akhirnya nanti berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini.

“Perkara-perkara yang membabitkan kepentingan orang Melayu, tak sebelahkan ekonomi Melayu tentu sahaja akan berlaku sesuatu yang tidak baik,” katanya.


Tiada ulasan: