Ahad, 1 September 2019

JAINJ guna tulisan jawi tahun depan

Izlaily Nurul Ain Hussein
 
 

KERAJAAN Negeri Johor menyokong pelaksanaan penggunaan tulisan jawi dalam urusan rasmi dan surat menyurat berkaitan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bermula 1 Januari tahun depan.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, semua anak syarikat atau apa saja urusan berkaitan JAINJ selepas ini akan menggunakan tulisan jawi dalam usaha memperkasakan tulisan berkenaan.

“Saya sangat menyokong semua yang di bawah JAINJ atau anak syarikat atau apa saja yang berkaitan JAINJ mesti menggunakan tulisan jawi.

“Tujuannya untuk memperkasakan tulisan jawi. Perkara ini mudah saja. Contoh, jika kita hendak mengaji al-Quran, kita mesti tahu jawi dan daripada tahu jawi itu akan buat kita lebih mahir mengaji.

“Saya harap rakyat Johor khususnya masyarakat Melayu Islam dapat memahami tulisan jawi dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan pelancaran Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor 1441 Hijrah /2019 Masihi di Pusat Islam Iskandar Johor, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi; Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah JAINJ, Datuk Md Rofiki Shamsudin.

Sementara itu, Tosrin berkata, pelaksanaan penggunaan tulisan jawi dalam urusan rasmi itu nanti turut membabitkan semua sekolah agama dan pejabat kadi daerah.

“Bermula 1 Januari 2020, semua jabatan agama Islam, anak syarikat JAINJ dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) termasuk pejabat kadi daerah dan sekolah agama, akan menggunakan tulisan jawi dalam surat menyurat.

“Teks ucapan juga akan menggunakan tulisan jawi,” katanya.

Tosrin berkata, Jawatankuasa Jawi Johor juga dibentuk bagi menentukan tulisan jawi dimartabatkan sebagai satu antara simbol umat Islam di Johor

“Saya tidak akan berundur walau selangkah sekalipun dalam memartabatkan tulisan jawi di Johor,” katanya.

Tiada ulasan: