Ahad, 1 September 2019

Guru ditipu 'Datuk Shahrul'

Shahrinnahar Latib
 
 

GURU wanita sebuah sekolah agama di Kuantan diperdaya lelaki yang kononnya bergelar Datuk sehingga kerugian RM11,340 Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 25 tahun itu dikatakan menerima panggilan daripada suspek yang menyamar kakitangan mahkamah.

“Suspek terbabit mendakwa mangsa mempunyai kes di mahkamah berkaitan kad kredit palsu yang dibuka di Kuala Terengganu.

“Kemudian, panggilan telefon itu disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.

“Suspek mendakwa, mangsa mempunyai kes penggubahan wang haram sebelum panggilan itu disambungkan ke Bukit Aman untuk bercakap dengan lelaki yang memperkenalkan diri Datuk Shahrul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Datuk itu bertanyakan kepada mangsa berkaitan semua akaun bank dan kad kredit miliknya untuk tujuan siasatan.

Katanya, mangsa yang tidak mensyaki apa-apa kemudian memberikan semua maklumat kad ATM miliknya kepada suspek.

“Tidak lama kemudian, mangsa menerima 10 khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada bank yang menghantar Kod Pengesahan Transaksi (TAC).

“Mangsa memberikan semua nombor TAC itu kepada suspek. Selepas itu, dia membuat semakan di dalam akaun bank miliknya dan mendapati wang berjumlah RM11,340 lesap,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang menyedari dirinya ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

Tiada ulasan: