Khamis, 5 September 2019

Dong Zong Johor diberi tempoh pinda perlembagaan

ainulillia  

 

Muhyiddin enggan ulas sebab utama RoS keluar surat pembatalan

BANGI– Persatuan Pengurus dan Guru Sekolah Cina Johor, sebuah persatuan yang bernaung di bawah Dong Zong diberi tempoh yang bersesuaian untuk meminda beberapa perkara berkaitan perlembagaan mereka.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu diputuskan ekoran rayuan yang dihantar secara rasmi kepadanya hari ini.

Pada 8 Ogos yang lalu, Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) Johor mengeluarkan surat pembatalan pendaftaran persatuan berkenaan dengan alasan RoS tidak menerima sebarang penjelasan mengenai pindaan perlembagaan persatuan berkaitan pembabitan guru.

Bagaimanapun, Muhyiddin enggan mengulas lanjut mengenai sebab utama RoS Johor mengeluarkan surat pembatalan berkenaan, sebaliknya menegaskan apa yang penting adalah untuk melihat bagaimana perkara itu boleh diselesaikan.

“Sebab itu mereka datang kemukakan rayuan, (kerana) apabila pertubuhan terbatal, mereka boleh kemukakan rayuan kepada menteri untuk batalkan dan dalam perbincangan tadi, mereka nyatakan latar belakang persatuan yang ditubuhkan sejak 1955, lebih 60 tahun, tetapi disebabkan faktor teknikal dia terbatal.

“Jadi mereka boleh kemukakan rayuan rasmi hari ni, hantar kepada saya dan RoS akan pertimbangkan. 

“Ketua Pendaftar boleh panggil wakil persatuan tadi untuk dapatkan penjelasan, dan melihat perlembagaan sekiranya ada benda perlu dipinda, atau disesuaikan mengikut akta RoS,” katanya.

Beliau dilaporkan berkata demikian selepas pertemuan dengan wakil persatuan berkenaan di Putrajaya, hari ini.

Semalam, RoS memaklumkan rayuan boleh dibuat kepada KDN dalam tempoh 30 hari dari tarikh surat dikeluarkan.


Tiada ulasan: