Jumaat, 14 Jun 2019

Pesta setubuh Hang Jebat dan skandal seks Melayu zaman lampau




Di dalam karya tradisional Melayu, sebagaimana hari ini, seks pernah sahaja muncul sebagai lambang pergolakan politik dan kekuasaan.

Terdapat beberapa skandal seks dalam istana Melayu yang cukup menggemparkan. Raja Ali Haji misalnya pernah mengutip perihal sejarah bangsawan Melayu Melaka dalam karangan besar beliau Tuhfat al-Nafis.

Sudah tentu, pertamanya, pesta seks Hang Jebat tatkala melakukan protes lantaran Hang Tuah, sahabatnya dianiayai akan mendapat sorotan. Ia pesta seks yang pasti membuatkan siapa pun termenung. Raja Ali menyatakan begini:
“…Laksamana Hang Tuah. Dialah hulubalang perkasa yang masyhur di dalam Melaka dan dialah yang membunuh Hang Jebat yang menderhaka dan mengambil gundik raja yang dilawannya untuk bersetubuh”.

Tentu, tidak seperti karya seks Barat, atau novel erotik tempatan 1950-an dan 1960-an, kita tidak menemukan banyak perincian.

Misalnya kita tidak dihidangkan dengan episod terperinci bagaimana Jebat melakukan pesta seks itu. Apakah Jebat bertelanjang atau gundik-gundik raja yang dibuat main itu berkemban, atau apakah ada muzik latar seperti gamelan ketika kejadian.

Akan tetapi, kita cukup tahu pesta seks itu memang mencengangkan ramai umat Melayu pada masa itu.

Kedua, ketika era Kesultanan Melayu Melaka terdapat pembunuhan Raja Zainal yang diketahui sangat kacak dan banyak menganjurkan pesta atau hubungan seks di istana.

Sekali lagi saya petik Raja Ali Haji yang menukilkan begini:

“Lalu apabila Sultan Alauddin Riayat Shah mangkat, menggantikan kerajaannya adalah puteranya yang bernama Raja Mahmud bergelar Sultan Mahmud Syah. Masa kerajaan baginda inilah, dia membunuh saudaranya yang bernama Raja Zainal, kerana Raja Zainal baik parasnya, cantik manis, menimbulkan rasa ghairah segala hati perempuan yang melihatnya.

“Banyaklah anak-anak orang Melaka berahi padanya hingga anak isteri orang jadi tidak tentu, mengidam Raja Zainal dengan bunga bergubah dan sirih bersulur. Mana-mana yang perkenan diambilnya, dan mana-mana yang baginda tidak berkenan diberi kepada segala orang suruhannya.

Maka cabullah negeri Melaka dengan hal yang demikian. Maka Sultan Mahmud memerintahkan seorang hambanya menikam Raja Zainal pada waktu malam di tempat tidurnya. Maka mangkatlah Raja Zainal, dan digemparkan oleh orang dalam negeri itu Raja Zainal mangkat ditikam pencuri kononnya”.

Perenggan di atas menjelaskan kepada kita perihal Raja Zainal yang kacak sehingga mengakibatkan ramai wanita bergetar tulang rusuk. Tentu sahaja pesona ini digunakan oleh baginda untuk membazirkan air maninya sehingga menjadi skandal pada masa itu. Ini mendorong pembunuhan Raja Zainal dilakukan oleh saudaranya sendiri.

Ketiga, Sultan Mahmud yang membunuh Raja Zainal itu sendiri bukanlah tidak berdosa. Ini kerana perihal Sultan Mahmud sangat suka bersetubuh memang tersohor sekali.

Baginda pemerintah yang paling banyak diceritakan terpalit skandal seks. Baginda misalnya melakukan zina dengan isteri-isteri menteri, termasuk menantu Hang Tuah, dan membunuh bendahara Seri Maharaja (Tun Mutahir) dan seisi keluarganya serta kahwin paksa dengan Tun Fatimah.

Saya petik sumber Raja Ali Haji yang menulis mengenai perihal ini:

“Sultan Mahmud ini suka juga berseronok dengan isteri-isteri menterinya. Pada satu masa ia berseronok dengan isteri Tun Biajid, anak Laksamana Hang Tuah, maka terjumpa dengan Tun Biajid di tengah jalan. Maka Tun Biajid menimang-nimang lembingnya sambil berkata, ‘Jika aku tidak takut derhaka sudah tentu tiadalah orang bernama Sultan Mahmud esok’. Apabila didengar oleh Sultan Mahmud, maka diberikannya gundik yang dikasihnya kepada Tun Biajid, maka Tun Biajid pun mentalakkan isterinya pula.

“Sultan Mahmud itulah yang membunuh bendaharanya yang bergelar Seri Maharaja, sebab baginda berahikan anaknya yang bernama Tun Fatimah yang bersuamikan Tun Ali, maka Tun Fatimah pun diambil oleh baginda untuk dibuat isteri”.

Keempat, satu lagi skandal seks melibatkan pemerintah bernama Mahmud terjadi. Skandal seks kali ini menjangkit ke “zaman Johor” di mana Sultan Mahmud Syah II dibunuh seorang hulubalang bernama Megat Seri Rama.

Seperti yang banyak didokumentasikan, Sultan Mahmud ini lebih cenderung melakukan hubungan seks dengan lelaki, dan kemudian dibunuh tanpa putera. Sejarawan Perancis yang banyak meneliti sejarah Nusantara, Henri Chambert-Loir ada menyentuh perihal Sultan Mahmud:

“The text is the Tuhfat al-Nafis, composed around 1865; it tells the story of Sultan Mahmud II of Johor (died 1699), of whom we know from a foreign source that he was homosexual and would not have intercourse with a woman.

“The text unravels this difficulty by explaining that the sultan had a fairy as a wife and actually begot a child from a concubine in a quite unordinary way: According to one account, he had intercourse with her once after he was already dead, while according to another he made her swallow his semen after he lusted for his fairy wife.”

Untuk menutup skandal seks ini, tukang propaganda istana terpaksa mencipta naratif kononnya baginda memiliki isteri bunian dan pernah bersetubuh dengan gundiknya.

Persetubuhan itu bukanlah persetubuhan biasa kerana berlaku sesudah baginda meninggal dunia dalam keadaan zakarnya terpacak, dan untuk mengendurkannya, Che Pong terpaksa “duduk di atas” baginda.

Hal ini dapat ditemukan dalam naratif versi Siak yang memperihalkan Sultan Mahmud sebelum dibunuh sempat melakukan hubungan seks dengan seorang gundik bernama Cik Pong.

Malah skandal seks ini sangat luar biasa sekali kerana terdapat dakwaan Cik Pong bersetubuh dengan mayat baginda, sementara dakwaan lain Cik Pong memakan sperma baginda lantas hamil.

“Adapun tersebut dalam sejarah sebelah Siak, asal Raja Kecik (Raja Kecil) itu anak Marhum Mangkat Dijulang yang terbunuh di Kota Tinggi oleh Megat Seri Rama, maknya bernama Cik Pong anak laksamana. Pada masa baginda hampir mangkat, maka Cik Pong pun makan mani baginda kononnya, waktu baginda itu datang berahinya terhadap isterinya peri, maka terpancarlah mani baginda. Lalu disuruhnya Cik Pong makan. Maka jadilah Cik Pong bunting kononnya. (Nota pengarang: peri merujuk jin yang dapat menyerupai dirinya seperti perempuan yang cantik).

“Ada sesetengah sejarah mengatakan pada masa baginda mangkat, zakar baginda terdiri, maka tiada orang berani menanam baginda. Maka segala orang besarnya bermesyuarat sebab keadaan itu sangat ajaib.

“Maka kata daripada isi istana, ‘baginda tengah berahikan Cik Pong, maka baginda pun mangkat’.
Maka takbir segala orang besar-besar itu, baginda takut tiada meninggalkan anak cucu yang sebangsa daripadanya. Maka Cik Pong disuruh oleh orang besar-besar itu setubuh dengan baginda. Maka apabila selesai barulah rebah kononnya zakar baginda itu. Maka Cik Pong pun buntinglah kononnya.
“Tersebut pada sejarah yang lain pula, pada pihak Terengganu, Cik Pong yang dipakai oleh baginda itu memang bunting kononnya”.

Saya berpendapat episod seks ini membawa kepada malapetaka besar buat umat Melayu.

Apabila rakyat, bahkan Tun Abdul Jalil yang ditabalkan sebagai Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV meneruskan kehidupan, mereka mendapati mereka ditentang oleh Orang Laut, iaitu kumpulan yang menggunakan Raja Kecil, anak luar nikah Sultan Mahmud Syah dengan Che Pong ini untuk
merampas semula takhta Johor pada 1718.

Raja Kecil menerima bantuan panglima-panglima Bugis seperti Daeng Parani dan Daeng Chelak. Bersama-sama Orang Laut, Raja Negara iaitu pemimpin Singapura waktu itu dan Yang Tuan Sakti Minangkabau, Sultan Lemah Abang Palembang, juga Dipati Batu Kucing semuanya memberikan bantuan sepenuh hati untuk mengembalikan kuasa politik kepada “keturunan Sultan Mahmud”.

Hari ini di banyak tempat dan dalam pelbagai lipatan sejarah, seks masih dan akan terus menjadi senjata politik yang sesetengah pihak mengatakan hanyir, sementara segelintir yang lain akan melihatnya sebagai asam garam berpolitik.

Hubungan seks yang diskandalkan terjadi dalam semua istana, semua parti politik (bahkan jemaah atau organisasi agama), melibatkan pemimpin semua agama dan bangsa, pada setiap zaman dan keadaan. Yang membezakannya apakah akan ada penulis upahan seperti Raja Ali Haji untuk mencatatkannya atau tidak.

Di zaman sekarang, peranan orang seperti Raja Ali Haji menjadi kecil sekali memandangkan terbangunnya teknologi komunikasi yang menjadikan sesuatu skandal, atau hubungan seks konsensual yang patutnya rahsia meledak dengan cepat.

Tiada ulasan: