Khamis, 13 Jun 2019

Lokman Adam ditahan selepas beri keterangan klip video seks gay

Lokman Adam hari ini dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi 
keterangan mengenai klip video seks sejenis didakwa membabitkan 
seorang menteri kanan.
 
PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam ditahan malam ini, beberapa jam selepas beliau memberi keterangan kepada polis berhubung klip video seks sejenis didakwa membabitkan seorang menteri kanan.

Faizul Ali Anui, pegawai khas Lokman mengesahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menahan pemimpin Umno itu di rumahnya di Kajang, kira-kira 7.30 malam tadi.

Beliau yang turut berada di rumah Lokman ketika penahanan itu berkata, ahli MIC yang juga bekas naib presiden PKR, N Gobalakrishnan turut ditahan bersama Lokman.

Katanya, Gobalakrishnan yang sedang melawat Lokman ketika itu ditahan kerana cuba menghalang polis menjalankan tugas mereka untuk mengambil telefon bimbit isteri Lokman.

Beliau berkata, penahanan bekas ahli Parlimen Padang Serai itu tiada kaitan dengan siasatan polis.
Ketua JSJ Selangor, Fadzil Ahmat bagaimanapun tidak boleh mengesahkan penahanan itu.

Katanya, beliau ada dengar mengenai penahanan itu, tetapi belum menerima sebarang maklumat berkaitannya.

“Saya sedang menunggu laporan rasmi,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Lokman dilaporkan berkata, beliau dipanggil JSJ Bukit Aman untuk membantu siasatan klip video seks sejenis itu, susulan laporan polis yang dibuatnya mengenai isu berkenaan.

“Saya buat laporan polis ke atas orang yang menyebarkan video lucah dan melakukan aksi video lucah.

“…mereka nak rampas kedua-dua telefon bimbit saya dan geledah rumah saya. Betul-betul ‘Law of The Jungle’ (undang-undang rimba),” katanya dipetik Malaysiakini.

Lokman antara pemimpin terawal mengeluarkan kenyataan mengenai video itu dan membuat laporan polis.

Bekas perdana menteri, Najib Razak dilaporkan berkata, Lokman melakukan kesalahan serius “kerana terlalu cepat mengulas video itu yang mula tersebar di media sosial pada Selasa”.

“Itu sebab kerajaan PH mahu merampas telefon bimbitnya dan geledah rumahnya,” dakwa ahli Parlimen Pekan itu.

FMT gagal menghubungi Lokman.

Tiada ulasan: