Isnin, 15 April 2019

[UPDATE] Suspek ketiga ditahan


Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
 


PENIAGA ayam berusia 37 tahun menjadi individu ketiga yang ditahan berikutan menggeledah kereta peronda polis (MPV) di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau, Seremban, semalam.

Sumber polis berkata, lelaki itu yang juga penyokong sebuah parti ditahan di Rantau, 4 petang, hari ini.

Katanya, polis setakat ini sudah menahan tiga daripada lima suspek yang memeriksa MPV terbabit sebaik mereka mendakwa polis membawa lebihan kertas undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, semalam.

“Tiga lelaki ini akan dibawa ke Mahkamah Seremban 9 pagi esok untuk permohonan reman,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop dihubungi mengesahkan mengenai penahanan itu.

Katanya, satu sidang media khas akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, 2.30 petang, esok.

Portal berita Harian Metro, hari ini melaporkan dua daripada lima suspek berusia 52 dan 36 tahun masing-masing ditahan di daerah ini dan Rantau jam 12 tengahari, hari ini, ekoran kejadian berkenaan.

Terdahulu, Mohamad dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menyifatkan tindakan lima lelaki itu sangat melampau dan mencabar tugas anggota polis.

Beliau dipetik sebagai berkata, perbuatan itu adalah yang pertama dalam negara apabila orang awam berani menggeledah kenderaan polis.

Tiada ulasan: