Sharul Nazri Zulkifli Chow
ANGGOTA polis trafik cedera pada kaki selepas melambung akibat dirempuh kereta ketika mengawal lalu lintas di Jalan Raja Laut menghala ke Dataran Merdeka, di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam kejadian 8.11 pagi tadi, mangsa, Konstabel Aniq Mohd Kassim, 22, dirempuh kereta Mercedes E200 menyebabkannya melambung dan tercampak kira-kira satu meter di lokasi terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kereta terbabit datang dari arah Jalan Hishamuddin menuju ke Jalan Raja Laut lalu melanggar anggota trafik berkenaan.
“Ketika kejadian, mangsa sedang berdiri di tengah jalan berhampiran lampu isyarat bagi mengawal lalu lintas di lokasi terbabit sebelum kereta berkenaan terus merempuh anggota itu.
“Akibat kemalangan itu, anggota terbabit tercampak ke tengah jalan dan cedera di bahagian kaki. Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zulkefly berkata, pemandu kereta berusia 25 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan