Khamis, 18 April 2019

Pegawai dilarang kembali ke kem Wang Kelian, RCI diberitahu




PUTRAJAYA: Saksi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendedahkan beliau dilarang kembali ke kawasan penemuan kem penyeludupan manusia dan kubur beramai-ramai di Wang Kelian, Perlis selepas penyerahan laporan pada 22 Januari 2015.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), S Sivangnanam berkata, arahan itu diberikan sebulan selepas bertugas di kawasan tersebut.

Katanya, arahan itu diberikan Mohammad Nasir Ramli, bekas komander Briged Utara PGA yang bersara Julai 2015.

Beliau mendedahkan perkara itu ketika menjawab soalan Timbalan Pengerusi RCI, Norian Mai, yang juga bekas ketua polis negara.

“Saya dilarang kembali ke kawasan operasi. Seperti Tan Sri tahu, kalau ada arahan daripada pihak atas, kita tidak persoal,” katanya.

Di tanya kenapa beliau tidak dibenarkan kembali ke kem itu, Sivangnanam berkata dia tidak persoalkan arahan pegawai atasannya.

Sivangnanam, yang bersara 20 Julai 2016, turut mendedahkan beliau menerima panggilan daripada seorang pemberi maklumat sehari selepas penemuan kem itu.

Sumber itu memaklumkan seorang lelaki bernama “Aziz” adalah orang tengah kepada sindiket pemerdagangan manusia.

Katanya lagi, “Aziz” berpenyakit kulit dan berniaga di Arked Wang Kelian.

“Risikan saya mendapati memang individu tersebut wujud dan kedainya berhampiran dengan CIQ,” katanya.

Laporan Sivangnanam turut mengaitkan penglibatan orang-orang dalam pihak berkuasa dalam aktiviti sindiket.

Laporan tersebut dibacakan pegawai pengendali, Khairul Anuar Abd Halim kepada panel RCI hari ini, dan beliau mengesahkannya.

Sivangnanam berkata, pemberi maklumat juga menyebut nama 8 orang yang terlibat.

“Saya serahkan nama dalang dan maklumat hasil sumber itu kepada ketua polis Perlis dan Kedah, Unit Risikan Selatan Batalion PGA, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Majlis Keselamatan Negara Perlis,” katanya.

Tiada ulasan: