Rabu, 17 April 2019

Negara lain sedang maju tapi kita buat U-Turn, kata Najib

ISMA WEB

Ekonomi, ringgit bermasalah jika RM42 bilion pelaburan asing keluar

BANGI – Dalam pada ringgit menerima gelaran ‘mata wang terburuk Asia’, tindakan pelabur asing menarik keluar dana berjumlah RM42 bilion – jika berlaku – akan meningkatkan lagi tekanan ke atas ekonomi Malaysia.

Pada masa sama, kerajaan Malaysia yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) memberi alasan kelemahan ekonomi negara adalah disebabkan faktor dunia dan di luar kawalan mereka, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Memetik laporan Bloomberg beliau berkata, pelaburan asing sebanyak AS$8 bilion (RM34 bilion) akan ditarik keluar apabila Malaysia dinyah senarai daripada indeks global FTSE Russell selepas bon kerajaan diturunkan penarafannya.

FTSE Russell (FTSE International Limited ) adalah penyedia perkhidmatan data dan indeks pasaran saham, yang dimiliki sepenuhnya oleh Bursa Saham London.

Dalam kenyataannya semalam, FTSE Russell berkata, penarafan Malaysia sebanyak dua mata sekarang dan disenaraikan dalam Indeks Bon Kerajaan-Kerajaan Dunia (WGBI) sejak 2004, sedang dipertimbangkan untuk diturunkan penarafannya kepada satu, sekali gus akan menyebabkan Malaysia tidak layak disenaraikan dalam WGBI.

Penilaian semula FTSE Russell ke atas bon kerajaan Malaysia di dalam WGBI dibuat seminggu selepas tabung kekayaan berdaulat AS$1 trilion Norway diarah memotong pasaran baru muncul kerajaan dan bon korporat, termasuk Malaysia.

FTSE Russell juga bertindak demikian kerana kebimbangan mengenai kecairan pasaran, menyebabkan nilai ringgit jatuh 0.6 peratus, berbanding dolar AS, semalam.

Mengulas lanjut, Najib berkata, tindakan itu akan menyebabkan RM42 bilion pelaburan asing akan mengalir keluar pada bulan-bulan yang akan datang.

“Dah sepuluh tahun kedua-dua FTSE Russell dan Norway percaya dengan Malaysia. Sekarang kedua-dua mahu belah. Agak sedih dan mengejutkan.

“Ini akan meningkatkan tekanan ke atas ekonomi negara dan mata wang Ringgit yang telah menerima gelaran “Asia’s Worst Currency” untuk bulan ini,” katanya.

Katanya, kerajaan PH berulang kali memberi alasan bahawa kelemahan ekonomi Malaysia disebabkan faktor dunia dan di luar kawalan mereka.
  

“Ini tidak betul. Kita boleh lihat dari kenaikan pasaran saham negara-negara lain. Jelas bahawa PH tipu rakyat lagi. Malaysia adalah “sole loser”. Kita diberi gelaran oleh Bloomberg sebagai paling corot di dunia untuk tahun 2019 ini.

“Setelah jatuh teruk tahun 2018 lepas PRU14. Kita terus jatuh lagi tahun ini. Negara-negara lain di dunia sedang maju ke depan manakala kita sedang U-turn ke belakang. Keadaan seperti ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia. Kita semakin ketinggalan.

“Kerajaan PH sering menggunakan alasan menipu bawa mereka tidak ada wang untuk menunaikan janji atau membina semula ekonomi kerana wang kononnya telah dicuri atau dirompak. Berkali-kali mereka menggunakan penipuan ini sebagai alasan,” katanya.


Tiada ulasan: