Sabtu, 6 April 2019

Najib kecewa hibah TH terendah dalam sejarah

Muhammad Azizul Osman
xMGF05042019_KEMPEN-CALON-BN_54-681x454
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada ceramah umum bossku bersama masyarakat India sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Bandar Ekar, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL


PRK RANTAU – Pengumuman Lembaga Tabung Haji (TH) yang memperuntukkan hibah sebanyak 1.25 peratus bagi tahun kewangan 2018 menjadi modal ceramah Datuk Seri Najib Razak malam tadi.

Bekas Perdana Menteri itu kecewa dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) ekoran hibah terendah itu.

“Saya sedih sebab dalam sejarah ini paling teruk dividen TH. Ini paling teruk. Janganlah salahkan kita (BN),” katanya dalam ceramah umum ‘Bossku’ bersama masyarakat India di Bandar Ekar, Rantau malam tadi.

Bekas Menteri Kewangan itu juga turut memperincikan kepada lebih 1,000 masyarakat India yang penurunan hibah bagi TH tahun ini adalah disebabkan oleh harga saham yang jatuh di negara ini.

Dedah beliau, selepas Pilihan Raya Umum ke 14, bursa saham negara merudum sebanyak RM270 bilion.

“Masa zaman saya (perintah BN), pasaran tukaran saham tertinggi sebab itu dividen (Tabung Haji) naik bertambah 6.75 peratus puratanya sepanjang saya jadi PM,” katanya lagi.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa mengumumkan hibah kepada pendeposit TH adalah pada kadar 1.25 peratus bagi tahun kewangan 2018 berakhir 31 Disember lalu.

Ia melibatkan agihan sebanyak RM913 juta kepada 9.3 juta pendepositnya.

Mujahid menjelaskan, setakat 31 Disember 2018, TH merekodkan aset keseluruhan berjumlah RM76.5 bilion yang lebih tinggi berbanding liabiliti sebanyak RM75.5 bilion.

Pendapatan bagi tahun kewangan dalam kajian adalah RM4.2 bilion manakala keuntungan boleh agih sebanyak RM2 bilion.

Untuk rekod, ini adalah hibah terendah dalam sejarah pengurusan TH. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: