Pengawal keselamatan, Yahya Manap meluahkan perasaan tidak berpuas hati apabila pelawak Lan Pet Pet hanya dikenakan hukuman denda sebanyak RM2,000 kerana memukulnya dalam kejadian pada 6 April lalu.
Warga emas berusia 68 tahun itu malah menyatakan dia amat terkejut selepas dimaklumkan jumlah denda yang dikenakan ke atas Lan Pet Pet memandangkan kecederaan dialaminya, menurutnya, agak teruk.
“Denda cuma RM2,000. Pakcik yang kena bedal (pukul) ini apa cerita?
“Pinggang masih sakit sampai sekarang akibat ditendang.
"Maruah pakcik yang tercemar apabila dia cakap persatuan penduduk ambil pengawal bodoh bagaimana pula?” katanya dipetik Utusan Online.
Malah, tambah Yahya, doktor menyambung cuti sakit yang sepatutnya hanya tiga hari.
“Pakcik kena bedal sampai diberi cuti sakit (MC) selama tiga hari.
“Kemudian terpaksa sambung cuti lima hari lagi,” katanya.
Yahya berkata, dia dan keluarganya dalam proses melantik peguam bagi mengemukakan saman malu ke atas Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad.
Katanya, jika diikutkan hati, dia mahu menyaman pelakon tersebut sebanyak RM3 juta.
Bagaimanapun, katanya, dia akan menyerahkan urusan saman itu kepada peguam yang telah dipilih oleh menantunya.
Lan Pet Pet, 49, didenda RM2,000 oleh mahkamah Seremban selepas mengaku salah atas pertuduhan memukul seorang pengawal keselamatan di Acacia Park Desa Jati di Nilai pada 6 April lalu.
Pelakon filem Gangster Celop itu dipercayai bertindak demikian selepas ditegur oleh pengawal keselamatan itu kerana tidak membuat catitan dalam buku pelawat semasa memasuki kawasan perumahan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan