Khamis, 4 April 2019

Kempen PH di DUN Rantau sarat fitnah, bohong

Manzaidi Mohd Amin
Mohd Fariz Hadi
Mohd Fariz Hadi
KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) masih menabur fitnah dan membuat pembohongan kepada rakyat terutama pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan.

Ada dalam kalangan pemimpinnya ketika berkempen, melemparkan fitnah terhadap Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mad kononnya menghalang calon mereka, Dr. Streram dari bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu.

Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Fariz Hadi, antara yang lantang berkempen memfitnah calon Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau ketika ini ialah Ahli Parlimen Setiawangsa dari PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Seperti biasa kita semua ketahui PH hanya mampu menang dengan fitnah dan pembohongan.

“Malam ini (malam tadi) Nik Nazmi menyerikan kempen pilihan raya kecil DUN Rantau dengan fitnah yang dilemparkan terhadap Tok Mad.

“Dia menabur fitnah menyatakan calon PH, Dr. Streram dihalang dan dinafikan haknya untuk bertanding pada PRU14 kerana arahan Tok Mad,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette semalam.

Beliau berkata, dengan sombongnya Nik Nazmi menuduh BN menghalang Dr. Streram bertanding pada PRU14 9 Mei lalu dengan alasan khuatir Tok Mad akan kalah.

Jelas katanya, fitnah itu sengaja direka bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) terbabit, sedangkan hakikatnya Dr. Streram tidak dibenarkan masuk ke kawasan penamaan calon ketika itu kerana tiada pas masuk.

“Jika benar Dr. Streram berani bertanding pada PRU14, beliau boleh sahaja balik ke rumah mengambil pas yang tertinggal.

“Tetapi beliau tidak buat begitu kerana beliau tahu pengundi DUN Rantau tidak mungkin akan memberikan kemenangan kepadanya,” katanya.

Mohd Fariz menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil serius perkara itu kerana jelas Nik Nazmi secara tidak langsung memfitnah agensi itu bersekongkol dengan Tok Mad pada PRU14.

Ujarnya, tuduhan SPR menghalang Dr. Streram dari masuk ke dewan penamaan calon sangat serius dan tidak boleh dibiarkan.

“Jika tidak ada tindakan serius diambil, ini bermakna SPR telah dikuasai oleh kerajaan PH.

“Bukti jelas hari ini, PH hanya mampu hidup dengan pembohongan dan fitnah. Saya minta dan seru pengundi DUN Rantau buat pilihan bijak, jangan sesekali mengundi calon PH yang menipu dan memfitnah,” katanya.

Katanya, jangan sia-siakan pemimpin yang besar jasanya di Rantau, Rembau dan seluruh Negeri Sembilan iaitu Tok Mad. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: