SUDAH hampir setahun
Pakatan Harapan memenangi PRU14 dan menjadi Kerajaan Persekutuan, sudah
hampir setahun juga segala janji manis kepada peneroka dan pekebun kecil
masih lagi tidak tertunai dan nasib mereka masih lagi tidak terbela.
Janji untuk melupuskan dan mengurangkan
beban hutang peneroka, menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja untuk
menyiasat Felda dan menaiktaraf kehidupan peneroka masih lagi tidak
nampak bayangnya. Lebih memeritkan lagi, harga minyak sawit jatuh teruk
di pasaran global dan berkemungkinan berdepan dengan boikot daripada
Kesatuan Eropah.
Kerajaan Pakatan Harapan seolah-olah
tidak ada solusi ataupun tidak tahu bagaimana menyelesaikan permasalahan
peneroka, pekebun kecil mahupun Felda. Sehingga ke hari ini tidak satu
pun pelan jangka pendek mahupun jangka panjang yang dibentangkan sama
ada kepada umum mahupun di Parlimen untuk direalisasikan. Jelas apa yang
dihidangkan ketika PRU14 lalu hanya omogan kosong semata-mata dengan
niat untuk memancing undi.
Apa yang berlaku sekarang menunjukkan
Kerajaan Pakatan Harapan tidak kompetitif, tidak mempunyai kredibiliti
dan keupayaan untuk menyelesaikan permasalahan Felda, peneroka, pekebun
kecil dan yang berkaitan dengannya. Sepatutnya dengan masa yang sudah
berlalu, Kerajaan Pakatan Harapan sudah mampu menyediakan
sekurang-kurangnya satu pelan jangka pendek untuk meringankan beban
peneroka, pekebun kecil dan sekurang-kurangnya mampu menyelesaikan
masalah-masalah kecil yang berlaku di dalam Felda.
Minyak sawit yang berhadapan dengan
kejatuhan harga yang teruk di pasaran dunia dan bakal diboikot oleh
Kesatuan Eropah makin meresahkan peneroka dan pekebun kecil kerana ia
akan menjejaskan pendapatan mereka. Ia juga bakal merencatkan
pertumbuhan Felda kerana berdepan dengan pengucupan pendapatan yang agak
besar serta menyukarkan Felda untuk merealisasikan pelan pemulihannya
jika berdepan dengan kekurangan dana akibat pengucupan keuntungan.
Menteri Industri Utama sepatutnya
mencari jalan penyelesaian dengan mencari pasaran baru bagi minyak sawit
negara ataupun mengarahkan agensi di bawahnya untuk meningkatkan
innovasi bagi mempelbagaikan kegunaan minyak sawit sebagai penyelesaian
jangka pendek. Dalam keadaan sekarang Menteri Industri Utama sepatutnya
cuba berunding dengan Kesatuan Eropah untuk mengelakkan minyak sawit
keluaran negara diboikot ataupun tidak langsung di beli kerana jika
berlaku, ianya akan menjejaskan puluhan ribu peneroka termasuk Felda
sendiri.
Namun apa yang dapat dilihat hanyalah kempen yang boleh dianggap “political stunt“
oleh menteri terbabit seperti minum sesudu minyak sawit untuk kelihatan
muda yang mana ia tidak mampu menyelesaikan permasalahan yang berlaku
sekarang. Pakatan Harapan bukan lagi pembangkang, bertindaklah dengan
menjadi Kerajaan seperti yang dijanji. Jangan hanya pandai berjanji
namun satu pun tidak ditepati. Jelas, nasib peneroka dan pekebun kecil
masih lagi tidak berubah bahkan makin parah. Tidak mustahil satu hari
nanti Felda juga akan rebah menyembah bumi.
Sejahtera Bersama Islam
*WAN ROHIMI WAN DAUD, Pengerusi Lujnah Pembangunan Tanah, Perumahan, Peneroka Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan