
KUALA LUMPUR – Pengkorporatan
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang sepatutnya dilaksanakan pada
2018 tidak akan diteruskan.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin
Hamzah, berkata kerajaan kini menumpukan usaha memperkasakan JKDM
dengan membuat pengezonan semula dan memperkasakan perundangan khususnya
berkaitan fungsi penguatkuasaan.
Bagaimanapun, kata
beliau, pengkorporatan jabatan itu akan dipertimbangkan pada masa depan
selepas kajian secara holistik dibuat.
“Pengkorporatan pada masa depan juga akan
mengambil kira peranan, fungsi, kutipan hasil, kawalan sempadan dan
penguatkuasa, sebagaimana dilaksanakan negara lain,” katanya ketika
menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) di Dewan
Rakyat di sini hari ini.
Sebelum ini, JKDM mengumumkan penangguhan
sementara pengkorporatan institusi itu sementara menanti hasil kajian
yang sedang dijalankan pengurusan tertingginya.
Sementara itu, Amiruddin berkata, kerajaan
menganggarkan kutipan hasil meningkat kepada RM1 bilion dengan adanya
pindaan dalam RUU Kastam 2019.
Jelas beliau, sebelum ini kutipan hasil
JKDM pada 2017 adalah RM57.9 bilion, kutipan 2018 pula adalah RM41.3
bilion manakala bagi tempoh Januari hingga Mac lalu, kutipan hasil
adalah RM11.6 bilion.
“Kerajaan mengunjurkan kutipan hasil kastam tahun ini adalah RM38.3 bilion,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan