SUAMI isteri dicekup selepas mencuri 15 pasang baju kurung bernilai lebih RM1,300 di pasar raya di Seremban 2, semalam.
Sumber berkata, kejadian 4.10 petang disedari pengawal keselamatan lelaki yang mendapati pasangan terbabit berada dalam keadaan mencurigakan di bilik persalinan pakaian wanita.
Katanya, pengawal yang memerhatikan gelagat pasangan berusia 33 dan 32 tahun itu mendapati mereka memasukkan beberapa barangan dalam kereta sorong bayi yang dibawa.
“Pengawal mengekori hingga ke kaunter dan mendapati mereka hanya membayar barangan iaitu makanan. Sebaik keluar dari premis, pasangan terbabit ditahan untuk pemeriksaan,” katanya.
Sumber itu berkata, pemeriksaan mendapati 15 pasang baju kurung ditemui dalam kereta sorong bayi dan ia tidak dibayar di kaunter.
“Pasangan terbabit diserahkan kepada polis yang tiba selepas dihubungi. Soal siasat polis mendapati mereka mengaku mencuri untuk menjualnya semula,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Mohd Rosli Ishak, ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan menerima laporan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Katanya, suspek terbabit direman tiga hari bermula hari ini untuk siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan