Ahad, 21 April 2019

Hukum cerai isteri ketika hamil harus-Mufti Pahang


Mahaizura Abd Malik
 


HUKUM menceraikan isteri ketika hamil adalah harus.

Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, talak boleh saja jatuh pada bila-bila masa.

"Cerai ada waktu harus dan haram. Kalau cerai ketika hamil hukumnya harus dan sah talaknya.

“Tiada tempat tidak jatuh talak kecuali ketika gila.

"Apa saja, sebab itu orang hendak ceraikan isteri ada waktu haram iaitu ketika haid," katanya ketika diminta mengulas tindakan seorang pendakwah bebas menceraikan isterinya yang sarat mengandung tujuh bulan.

Beliau berkata, bagaimanapun perceraian itu perlu mengikut prosedur dan persetujuan mahkamah syariah.

"Cerai perlu ada persetujuan mahkamah kalau tidak ikut peraturan, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman," katanya.

Jumaat lalu, kecoh apabila bekas isteri Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan, Ain Afini meluahkan perasaannya di media sosial selepas mendedahkan diceraikan pendakwah itu ketika sarat mengandung.

Bagaimanapun, PU Abu meminta semua pihak memberi ruang untuknya memberi penjelasan berikutan dia juga mempunyai cerita tersendiri di sebalik kemelut rumah tangga mereka.

Tiada ulasan: