Fasa 2 Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2) telah berada di bawah pemerhatian beberapa pihak sejak perjanjian itu dibatalkan dan kemudiannya ditender semula oleh kerajaan PH.
Projek KVDT2 melibatkan kerja baik pulih 211km landasan kereta api KTM Bhd (KTMB) meliputi dari Salak Selatan ke Seremban dan dari Kuala Lumpur Sentral ke Pelabuhan Klang.
Dengan kos RM5.265 bilion, projek itu pada ketika itu diberikan kepada Dhaya Maju-LTAT Sdn Bhd, usaha sama antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA).
Tidak lagi. Ia telah diminta memberhentikan kerja.
Bernama bercakap kepada DMIA untuk mengetahui sama ada perjanjian yang dikatakan dibuat hanya membabitkan dua pihak sahaja secara tertutup atau "sweetheart” itu dapat dilaksanakan pada kadar jauh lebih rendah.
“Ia bukan perjanjian yang ‘sweet’ ataupun ‘heart’, kami pasti gembira jika ia salah satu daripadanya,” kata Ketua Pegawai Operasi DMIA Mohamed Razeek Hussain secara berseloroh untuk menceriakan suasana dan pembuka bicara sebelum temu bual bermula.
Mari kita imbas perjalanan projek ini, kata Pengarah Eksekutif DMIA Subramaniam Pillai yang menurutnya surat hasrat (LOI) bagi keseluruhan projek KVDT diberikan kepada syarikat usaha sama DMIA-LTAT pada 2013.
Jadi, KVDT1 dengan kos RM1.41 bilion, melibatkan kerja baik pulih 42km landasan KTMB di laluan Rawang-Salak Selatan dan Sentul-Simpang Batu, bermula terlebih dahulu, katanya.
Kira-kira 75 peratus kerja di KVDT1 telah selesai dan dijangka siap menjelang akhir tahun 2020.
"Pada suku akhir tahun 2016, kami membuat cadangan untuk KDVT2 kerana beberapa kerja antara dua fasa ini bertindih dan memulakan fasa kedua adalah penting bagi kerajaan untuk menjimatkan wang," katanya.
Selepas hampir dua tahun rundingan, perjanjian itu akhirnya ditandatangani pada 2018.
Oleh itu, adalah membingungkan untuk mendengar perspektif perjanjian "sweetheart", katanya.
"Adalah malang bahawa apabila jumlah kontrak dan pemberiannya dimuktamadkan pada April 2018 (sebelum pilihan raya umum) yang membawa kepada spekulasi bahawa ia telah dilakukan terburu-buru," kata Mohamed Razeek.
Bukan sekadar kerja baik pulih
"Ini bukan sekadar kerja baik pulih atau penggantian, ia lebih daripada itu. Satu daripada pihak yang berminat, saya dengar berkata bahawa tidak perlu membina semula asasnya. Serius. Pernahkah anda melihat ia (keadaan asas dan landasan)?
"Saya mempunyai video landasan sedia ada, kereta api melaluinya naik dan naik. Pergerakan itu dipanggil tindakan mengepam, yang merupakan punca utama kegelinciran kereta api," kata Mohamed Razeek.
Untuk mengatasi keadaan dan meneruskan operasinya, KTMB mengurangkan kadar kelajuan dan jumlah kargo.
Tambahan pula, Subramaniam berkata disebabkan oleh keadaan semasa landasan dan asasnya, tren komuter yang direka untuk perjalanan pada kelajuan 120km sejam bergerak antara 20-30km sejam.
Sekiranya mereka yang bersaing untuk projek ini hanya mahu menggantikan landasan lama dengan yang baru, masalah penting ini tidak akan diselesaikan, kata Mohamed Razeek.
"Kami menggali keluar semua landasan dan asas lama (berusia 25 tahun dan lebih), kemudian, menggantikannya dengan yang baru dan lebih kuat untuk membolehkan kereta api bergerak dengan lebih laju dengan beban berat," katanya.
Dan itu bukan satu-satunya skop kerja yang terlibat dalam fasa 1 dan 2 KDVT, katanya.
Subramaniam berkata kira-kira RM1.5 bilion daripada RM5.265 bilion diperuntukkan bagi kerja bukan landasan yang berkaitan dengan tebatan banjir, penggantian pembetungan, baik pulih jambatan, naik taraf kemudahan KTMB dan sistem tambahan seperti sistem isyarat ditambah baik.
"Mungkin, pihak-pihak yang berminat ini juga tidak menyedari bahawa KVDT 1 dan 2 adalah kerja baik pulih landasan kereta api yang pertama yang dilakukan di Malaysia, yang melibatkan kerja berhampiran kereta api yang sedang beroperasi dan di dalam tanah seperti saluran elektrik berkuasa 25,000 Volt.
"Kerja-kerja hanya boleh diteruskan apabila tiada kereta api yang beroperasi dan tenaga kuasa dimatikan untuk talian di atas. Ini amat bergantung kepada operasi sokongan KTMB dan banyak bahagian kerja hanya boleh dilakukan selama tiga jam pada waktu malam ketika tenaga kuasa dimatikan," katanya.
Oleh itu, beliau berkata kerja-kerja baik pulih itu tidak boleh dibandingkan dengan projek di kawasan yang belum dibangunkan dengan kerja boleh dilakukan 24 jam dan tujuh hari seminggu.
"Bagi kos, pada dasarnya, saya dapat katakan bahawa mereka tidak tahu apa yang mereka perkatakan. Terdapat harga diletakkan pada RM3.5 bilion dan RM3.6 bilion, saya sedang menunggu seseorang menyebut harga RM2 bilion," kata Mohamed Razeek.
RM5.265 bilion ditetapkan secara bebas oleh pasukan pakar daripada Kementerian Pengangkutan, KTMB, Jabatan Kerja Raya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Unit Perancang Ekonomi dan Kementerian Kewangan apabila rundingan projek itu bermula pada 2013.
Harga adalah berdasarkan kepada harga projek Ipoh-Padang Besar dari tahun 2007.
Tender terbuka akan menyebabkan kontraktor meletakkan harga untuk kerja-kerja berdasarkan kadar 2019-2020 dengan andaian harga akan meningkat dan risiko turun naik mata wang.
"Oleh itu, pada kadar semasa projek itu adalah antara RM7 bilion hingga RM8 bilion," kata Mohamed Razeek.
Di samping itu, proses tender itu sendiri mengambil masa satu hingga dua tahun dan kerja-kerja hanya boleh dimulakan selepas itu.
"Kami percaya kami dapat menyiapkan projek dengan harga yang lebih rendah dengan beberapa fleksibiliti pada reka bentuk. Bagaimanapun, kami boleh menyatakan bahawa adalah mustahil untuk melakukan kerja-kerja itu pada kos hampir RM3 bilion.
"Jika diberi peluang dan sokongan daripada operasi KTMB, kami pasti dapat menyiapkan KVDT2 dalam tempoh lima tahun," katanya.
Sewa peralatan kurangkan kos
"Bagaimanapun, sewa jangka panjang mesin daripada KTMB bukan merupakan alternatif yang berdaya maju kerana KTMB mensyaratkan mereka melakukan penyelenggaraan rutin landasan di luar kawasan KVDT.
"Jarak keseluruhan rangkaian KTMB adalah 1,677km, mereka mungkin sedang melakukan kerja penyelenggaraan di Padang Besar, sedangkan anda memerlukannya di Klang untuk kerja baik pulih.
Ia tidak akan dapat berfungsi dengan baik, "katanya.
Mengenai kemungkinan membahagikan kerja KVDT2 kepada 10 fasa, beliau berkata:
"Membahagikannya sehingga 10 Saya tidak pernah mendengar sesuatu seperti itu.
"Jika anda mempunyai struktur 50 tingkat, masing-masing membina lima tingkat. Saya rasa anda akan mempunyai bentuk yang menarik. "
Begitulah juga, ia tidak dapat dilaksanakan, kata Mohamed Razeek.
Walaupun secara fakta, kerja yang dilaksanakan di 10 atau 20 tapak pada masa yang sama pasti akan meningkatkan produktiviti dan boleh diselesaikan lebih awal, secara praktikalnya bermakna perlu memberhentikan keseluruhan operasi kereta api.
"Sekiranya satu laluan ditutup di mana-mana bahagian, semua lalu lintas, dari arah atas dan bawah perlu menggunakan landasan tunggal dan ini boleh dibenarkan tanpa sebarang masalah besar terhadap operasi sekiranya dilakukan di satu-satu bahagian pada satu masa," kata Mohamed Razeek.
Sekiranya ini dilakukan di beberapa bahagian, beliau berkata akan berlaku kelewatan kereta api dan masa menunggu dan operasi sedemikian tidak dibenarkan.
"Sesiapa yang mencadangkan bahawa ini boleh dilaksanakan dalam operasi kereta api tidak mempertimbangkan kerugian hasil, kelewatan kereta api dan ketidakselesaan penumpang," katanya.
Beliau memberikan contoh bahawa dalam melakukan kerja-kerja KVDT2, kerja perlu dilakukan dalam lebih 60 peringkat secara berturutan untuk memastikan gangguan yang minimum terhadap operasi KTMB.
Tak akan runding semula
Mohamed Razeek juga menjelaskan bahawa usaha sama itu tidak boleh dirunding semula atau menyerahkan semula cadangan untuk KDVT2.
"Ia bukan untuk rundingan semula atau penyerahan semula. Saya dapat katakan, ia adalah pengesahan mengenai apa yang telah kami kemukakan. Kami telah menghuraikan dan menunjukkan bahawa harga kami berdaya saing dan sedang menunggu keputusan," katanya.
Setakat ini, Subramanian berkata 20-30 peratus kerja persediaan telah dilakukan untuk KDVT2.
"Dan berdasarkan Surat Anugerah (sebelum ini), kerja bernilai kira-kira RM2 bilion telah diberikan kepada vendor," katanya.
DMIA-LTAT juga tidak cuba menimbulkan pertikaian atau bergaduh dengan kerajaan.
"Kami memahami sepenuhnya rasional dan alasan di sebalik tindakan yang diambil oleh kerajaan yang bekerja demi kepentingan pembayar cukai Malaysia sambil mengkaji semula projek kereta api dan mega di negara ini," katanya.
Pada ketika ini, tumpuan diberikan untuk menyebarkan maklumat dan pengetahuan mengenai kekangan kerja dan bahawa DMIA-LTAT adalah satu-satunya kontraktor di Malaysia yang berpengalaman dan mahir untuk melaksanakan kerja baik pulih yang rumit itu.
"Kami juga melakukan banyak usaha untuk menangani pendapat dan penyelesaian daripada '’pakar'’ yang tidak biasa dengan projek kereta api, apatah lagi baik pulih projek laluan utama trafik bercampur," katanya.
Tak minat kerjasama
"Saya melihat tidak ada keperluan itu," kata Mohamed Razeek ketika ditanya mengenai DMIA-LTAT akan bekerjasama jika projek tersebut diberikan kepada pihak lain.
Mana-mana kontraktor yang mendapat projek itu mestilah mempunyai portfolio jentera landasan yang baik. Memandangkan kawasan di sekitar landasan telah dibangunkan dengan baik, kebanyakan kerja-kerja pembinaan dan bahan logistik perlu dilakukan menggunakan mesin jentera landasan.
Penggunaan trak, jengkaut besar dan jentera infrastruktur berat yang lain adalah terbatas disebabkan ruang sempit. Jika kontraktor tidak mempunyai jentera khas dan spesifik, mereka tidak dapat melakukan kerja itu, katanya.
“Secara spesifiknya jajaran landasan atau turnouts perlu dipasang dalam masa yang amat singkat.
Begitu juga lintasan yang mempunyai dua turnouts perlu disiapkan dalam dua hujung minggu (empat hari),” katanya dan menurutnya ia hanya boleh dilakukan dengan menggunakan mesin khas meletak panel landasan yang merupakan peralatan mahal.
“Kerjasama dan usaha sama perlu membawa manfaat saksama daripada kedua-dua pihak. Dalam projek ini, kami tahu kami mempunyai kepakaran sepenuhnya,” katanya.
Ketika ini, hanya terdapat sembilan mesin khas meletak panel landasan di dunia, dan DMIA memiliki satu daripadanya, kata Subramaniam.
“Mesin-mesin kami sahaja berharga RM300 juta. Kami ada semua yang diperlukan dan kami boleh mulakan kerja esok, dengan syarat laluan ditutup untuk kerja,” katanya dan menurutnya DMIA mempunyai 650 staf dan 200 vendor dengan hampir 5,000 pekerja.
Dengan pengalaman menjalankan kerja Fasa 1, Mohamed Razeek berkata pasukan DMIA-LTAT juga tahu cara terbaik untuk menjadualkan kerja secara berturutan, yang bermakna, “kami boleh menjadi lebih efisien.”
“Oleh itu, kami berharap kerajaan menimbangkan semua perkara itu,” tambah Subramaniam.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan