Sabtu, 20 April 2019

EKSKLUSIF: Kebenaran muncul jua – Juruterbang

Syahril A. Kadir
MGF19042019_MAHB_01-681x452
Eksklusif... krew jet peribadi Berjaya Air yang terlibat dalam nahas pada 18 Mac lalu yang mengorbankan seorang kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). foto ihsan PEMBACA MALAYSIA GAZETTE
 

KUALA LUMPUR – “Alhamdulillah, kebenaran akhirnya muncul jua.”

Begitulah komen ringkas Kapten Muhammad Fauwaz Zamzam sebaik sahaja mengetahui hasil siasatan awal pelanggaran jet peribadi Bombardier Challenger 300 yang dipandunya dengan sebuah kenderaan milik Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) hingga mengorbankan pemandu kereta tersebut oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam sidang media khas pagi tadi.

Beliau berkata, sejak hari kejadian, pihaknya menjadi sasaran serangan dan fitnah netizen yang bertindak menghukum mereka dengan tanpa berlandaskan fakta sebenar kejadian.

Katanya, memandangkan kes itu sedang dalam siasatan, mereka tidak membalas ‘serangan berkenaan’ sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksaan lembaga menyiasat untuk melakukan penyiasatan mereka.

“Keputusan saya mendaratkan jet tersebut pada awal pagi kejadian dibuat setelah mendapat kebenaran daripada menara kawalan (ATC), tidak ada mana-mana juruterbang di dunia akan berbuat sesuka hati mereka untuk terbang dan mendaratkan pesawat jika dengan tanpa arahan mereka.

“Sebagai juruterbang, kami dilatih untuk patuh dan meletakkan kepercayaan kepada petugas menara kawalan kerana mereka mengetahui keadaan sebenar di landasan.

“Secara peribadi, saya juga sedih dengan apa yang menimpa kakitangan MAHB yang terbunuh itu cuma sebagai juruterbang, tak banyak yang boleh saya lakukan jila berhadapan dengan situasi begini, mana-mana juruterbang pun sama,” katanya pada Malaysia Gazette di sini hari ini.

Berusia 37 tahun, beliau mempunyai pengalaman lebih 7,000 jam penerbangan dan telah menerbangkan pelbagai jenis pesawat sepanjang 16 tahun pengalamannya menjadi juruterbang.

Antaranya Boeing 737, Airbus 320, Airbus 330 dan ATR72. Beliau juga menerbangkan jet peribadi jutawan terkenal, Tan Sri Vincent Tan iaitu Global 5000 dan Challenger 300.

Insiden 18 Mac lalu menyaksikan mangsa, Mohamad Ruzaimi Iskandar Ahmad Razal cedera parah selepas kenderaan yang dipandu milik MAHB dilanggar pesawat peribadi Berjaya Airlines tersebut.

Mangsa meninggal dunia sehari selepas kejadian.

Dalam sidang akhbar khas pagi tadi, Anthony memaklumkan dua petugas ATC shif kedua dan ketiga semasa kejadian telah digantung tugas sementara siasatan berlangsung dan dilengkapkan.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan lagi tempoh penggantungan tersebut
Sementara itu, Ketua Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), Kapten Yahaya Abdul Rahman dalam sidang akhbar yang sama juga memaklumkan siasatan awal mendapati tempat duduk pemandu kenderaan pengiring yang dirempuh itu berada dalam kedudukan baring ke belakang.

Bagaimanapun Anthony menjelaskan, penemuan itu tidak boleh disimpulkan bahawa pemandu kenderaan berkenaan telah tertidur semata-mata hanya berdasarkan keadaan tempat tempat duduk pemandu.

“Sehingga laporan lengkap siap kita tidak boleh menuduh mana mana pihak untuk bertanggungjawab dalam insiden ini, namun jika siasatan mendedahkan pihak sebenar di sebalik kemalangan berkenaan, kami pasti akan bertindak tegas ke atas mereka,” kata Anthony – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: