Jumaat, 5 April 2019

Dollah ingatkan Tok Gajah jangan terbawa-bawa aksi lewa

MALAYSIAKINI

   

Skuad Tok Gajah diharap tidak terbawa-bawa dengan rentak permainan santai dalam perlawanan selepas ini, sebagaimana dipamerkan ketika bertemu Persada Integriti Bersatu (PIB) FC pada aksi pusingan kedua Piala FA malam tadi.

Ketua Jurulatihnya Dollah Salleh berkata ini kerana persembahan sebegitu boleh mengundang padah, apabila mereka turun berhadapan sebuah pasukan yang kental dalam saingan Liga Super.

"Tidak dinafikan tahap keupayaan Pahang dan PIB FC berbeza apabila beraksi di atas padang.

"Secara keseluruhan kita bermain baik...separuh masa pertama kita beraksi serius tetapi kurang bertahan, manakala babak kedua pula kita bermain sambil lewa sedikit.

"Apapun kemenangan itu yang penting...cuma saya harap ia tidak terbawa-bawa dalam Liga Super, apatah lagi kita akan bertemu PJ City yang bukan calang-calang pasukan," katanya pada sidang selepas perlawanan.

Pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur itu, Pahang mencatat kemenangan 4-0 untuk mara ke pusingan seterusnya.

Empat gol Pahang dijaringkan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-9, Jose Eduardo Bischofe (minit 15), Muhammad Safuwan Baharudin (minit 28) dan Mohamad Faisal Abdul Halim (minit 60).

Dollah berkata meskipun tidak dianggap pasukan elit, semangat pasukan lawan yang tinggi mampu mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Pahang jika mereka tidak berhati-hati.

"Kita perlu bersedia dengan rapi menghadapi perlawanan Liga Super pada hari Ahad ini. Difahamkan pemain import kita, Saddil Ramdani sudah tiba ke sini selepas mewakili skuad Indonesia, manakala Dickson Nwakaeme akan sampai pada hari Sabtu, iaitu sehari sebelum perlawanan," katanya.

Sementara itu, pengendali PIB FC, Haswanis Che Hassan menyifatkan perlawanan menentang Pahang menjadi satu pengalaman berharga buat pasukannya, walaupun tewas.

"Pasukan kami terdiri daripada individu yang bekerja dan bukan pemain sepenuh masa… Kami juga tidak memiliki pemain import. Apabila sampai ke tahap ini, saya berbangga apatah lagi kita bertemu Pahang yang berada di tangga teratas Liga Super," katanya.- Bernama


Tiada ulasan: