Isnin, 15 April 2019

Bayaran kempen punca gaduh di bilik gerakan PH

MALAYSIAKINI

   

Tidak puas hati terhadap bayaran kempen punca pergaduhan yang berlaku di Bilik Gerakan Utama (BGU) Pakatan Harapan (PH) di Bandar Ekar, Rantau malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohamad Mat Yusop berkata, kejadian 7.30 malam itu menyebabkan seorang lelaki berusia 50 tahun cedera akibat ditumbuk dan dicekik.

“Kejadian itu bermula dengan perang mulut sebelum mangsa cuba meleraikan. Lelaki itu difahamkan menjadi orang tengah antara calon PKR, Dr S Streram dengan ahli parti berhubung pembayaran kempen.

“Pergaduhan meletus dengan maki hamun dan tolak-menolak sebelum mangsa dicekik dan ditumbuk,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Katanya, polis mengerahkan 10 anggota ke lokasi namun sebaik tiba, pergaduhan sudah berlaku sesama ahli parti terbabit.

Mohamad berkata, anggotanya sempat mengiringi Dr Streram keluar dari bilik gerakan berkenaan.

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di Kuala Lumpur, jam 12.01 tengah malam. Laporan itu akan disiasat di daerah ini mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang memburu lima suspek utama pergaduhan berkenaan dan mencari saksi kejadian.

Tambah beliau, sepanjang PRK berlangsung polis menerima 135 laporan dengan 21 kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan pilihan raya.

“Buat masa ini satu kes sudah didakwa di mahkamah dan selebihnya masih menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.


Tiada ulasan: