Isnin, 22 April 2019

Annuar Musa persoal ucapan takziah bahasa Inggeris Mat Sabu

MALAYSIAKINI

   
Ahli politik Malaysia, seperti kebanyakan ahli politik negara lain, menggunakan media sosial untuk mengecam pengeboman di beberapa gereja dan hotel di Sri Lanka yang menyebabkan hampir 300 terkorban.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa hari ini mengambil kesempatan untuk mempersoalkan ucapan takziah bahasa Inggeris Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berhubung isu berkenaan.

Annuar yang juga merupakan ahli parlimen Ketereh sebelum ini pantas mengecam senator Australia Fraser Anning berhubung serangan pengganas di masjid di Christchurch, New Zealand.

Namun, dalam kenyataan balas terhadap ucapan takziah yang dikirim akaun Twitter Mohamad Sabu berhubung kejadian di Sri Lanka, Annuar sekadar mempersoalkan siapa yang membuat ucapan takziah dalam bahasa Inggeris itu.

"Siapa tukang tweet?" soalnya.

Mohamad dalam kenyataan bahasa Inggeris berkenaan menyatakan rasa sedih mendengar kejadian serangan di Sri Lanka, serta menyampaikan rasa simpati kepada mangsa dan keluarga mangsa.

Beliau turut mengecam tindakan keganasan serta berharap pihak yang terlibat akan dibawa ke muka keadilan.

Kenyataan Annuar itu membuatkan pengguna Twitter lain menganggap kenyataan bahasa Inggeris itu tidak dibuat oleh Mohamad.

Kira-kira sembilan jam selepas itu, Annuar akhirnya memuat naik kenyataan mengecam serangan bom di Sri Lanka.

"Perbuatan menyerang gereja dan tempat awam seperti berlaku di Sri Lanka atau di mana jua wajib dikutuk. Pelakunya harus dibawa ke muka pengadilan dan pesalah dihukum sewajarnya," katanya dalam kenyataan berasingan.

Sementara itu, dalam semakan terbaru, ucapan takziah bahasa Inggeris di Twitter Mohamad sudah dipadam.

Ahli politik lain kecam

Mujurlah, ahli politik lain rata-rata mengecam serangan bom berkenaan.

Dalam kenyataan di Harakah Daily, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan serangan itu yang terjadi ketika golongan beragama Kristian menyambut hari Easter, sebagai melampaui batas kemanusiaan

"Malah bertentangan dengan ajaran agama Islam yang menuntut umatnya untuk menghormati hak penganut agama lain dan melarang daripada merosakkan rumah ibadat walaupun ketika dalam peperangan.

"PAS menegaskan bahawa toleransi antara agama adalah amat penting bagi mewujudkan keharmonian dalam negara, dan PAS menzahirkan solidariti kepada Sri Lanka untuk mengembalikan keamanan setelah berhadapan dengan serangan terkutuk ini," katanya.


Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin pula menyeru agar rakyat Malaysia mengecam serangan berkenaan dan terus menggalakkan keamanan.

"Doa buat Sri Lanka dan mangsa serangan pihak yang jahat. Keganasan tidak mempunyai sempadan dan tidak memilih mangsa. Kita perlu mengecam dan terus menggalakkan keamanan," katanya, juga melalui Twitter.

Melalui medium sama, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata ekstremisme adalah musuh sebenar.
"Orang Islam dibunuh di masjid, orang Kristian dibunuh ketika sedang berhimpun (di gereja). Orang Buddha, Hindu, semua pernah menjadi mangsa.

"Dalam setiap agama dan masyarakat, ekstremisme merupakan musuh terhadap sikap toleransi dan hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat tanpa mengira agama dan kepercayaan," kata Rafizi.

Sementara, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh mengaku tidak dapat mengungkapkan perasaan berhubung serangan berkenaan.

"Saya minta maaf, saya tiada kata untuk mengungkapkan serangan di gereja dan hotel di Sri Lanka pada Hari Easter Ahad lalu," katanya.

Tidak ketinggalan, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengecam serangan berkenaan.

"Hari Easter adalah hari perayaan buat orang Kristian dan serangan seperti itu pada hari seperti itu atau mana-mana hari adalah sangat dikecam.

"Doa buat warga Sri Lanka yang sedang berdepan situasi sukar ini," katanya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan tindakan serangan bom berkenaan sebagai pengecut.

"Kita yakin kerajaan Sri Lanka akan mengambil tindakan untuk menahan dan menghukum dalang serangan kerjam ini.

"Kejadian Ahad lalu menyedihkan rakyat Malaysia, dan kita berdoa agar Sri Lanka dan warganya dapat pulih dengan segera," katanya.

CNN melaporkan lapan letupan di lokasi berbeza menyebabkan sekurang-kurangnya 290 terbunuh, termasuk warga asing, dan mencederakan kira-kira 500 yang lain.

Perdana Menteri Sri Lanka Ranil Wickremesinghe semalam berkata, terdapat amaran berhubung beberapa letupan sebelum itu.

Perdana menteri itu berkata pihaknya akan menyiasat sebab tiada tindakan diambil.


LIHAT TWITTER DI SINI


Tiada ulasan: