Mangsa dipercayai terlanggar lopak air menyebabkan kereta terbabas
KUANTAN
– Seorang anggota polis maut apabila kenderaan pacuan empat roda Toyota
Hilux milik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu yang dipandunya
terbabas di kilometer 220.1 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di sini,
semalam.
Ketua
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Supt Kamarulzaman
Jusoh berkata, Lans Koperal Jackie Patan, 32, dari unit Anjing Pengesan
(K9) IPK Terengganu, maut dalam kejadian 1 tengah hari itu.
Beliau
berkata, Ketua Seksyen K9 IPK Terengganu Sarjan P. Abimannan, 58, yang
duduk di tempat duduk penumpang hadapan kenderaan itu cedera ringan dan
dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
“Kemalangan
dipercayai berlaku apabila mangsa yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur
terlanggar lopak air menyebabkan kenderaan itu terbabas lalu melanggar
tebing kiri jalan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Kamarulzaman berkata, punca kematian Jackie yang berasal dari Bintangor, Sarawak adalah disebabkan kecederaan parah di kepala.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan