Rabu, 10 April 2019

Adakah pelan selamatkan TH akan beri hibah lebih tinggi tahun depan?




Hibah Lembaga Tabung Haji sebanyak 1.25% yang terendah dalam sejarah mencetuskan perang besar maklumat dan hujah yang melemaskan di media sosial.

Hibah TH sepatutnya diumumkan sebelum Mac berakhir, seperti yang dijanjikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa. Malangnya, ia tidak dapat dilaksanakan dan hanya diumumkan pada 5 April 2019.

Kegagalan untuk memaklumkan kelewatan ini lebih awal kepada pendeposit TH menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan kehilangan kuasa naratif untuk menerangkan apa yang sedang berlaku kepada TH.

Kekosongan ini diambil kesempatan sepenuhnya oleh bekas perdana menteri, Najib Razak untuk mengisi naratifnya sendiri berserta fakta dan angka yang mudah difahami rakyat berbanding penjelasan diberikan TH mahupun menteri.

Ini menyebabkan berlakunya perang “fakta” antara pihak pro-kerajaan dan Najib di media sosial. Masing-masing mengeluarkan hujah untuk mempertahankan diri daripada dituduh punca prestasi hambar TH pada 2018.

Hujah Najib yang paling kuat setakat ini ialah pelaburan TH bermasalah setelah pilihan raya umum ke-14 kerana prestasi saham Malaysia jatuh teruk pada 2018, selepas PH mengambil alih kerajaan dan bermain dengan isu hutang RM1 trilion. Ini menyebabkan saham yang dipegang TH mengalami kerugian banyak.

Kerajaan PH pula memberikan hujah panjang lebar yang akhirnya menyalahkan penyelewengan TH di zaman Najib dan Barisan Nasional sebagai punca TH terpaksa mengumumkan hibah 1.25%.

Perlu diingat, perang “hujah” antara Najib dan kerajaan PH bersifat politik semata-mata.

Dalam perang ini, Najib dilihat mendahului kerana popularitinya di media sosial dan juga hujah balas yang mudah difahami dan diikuti.

Meskipun ada penjelasan balas daripada pihak TH dan kerajaan PH, namun ia disambut pelbagai kesangsian kerana defisit kepercayaan rakyat terhadap kerajaan PH terlalu tinggi.

Dari sudut praktikal, sebenarnya tiada nilai tambah bagi pendeposit TH bergelut mencari siapa yang harus dipertanggungjawabkan atas hibah 1.25% yang diibaratkan nasi sudah menjadi bubur.

Perkara itu tidak lagi penting, melainkan untuk tujuan politik semata-mata.

Soalan lebih penting bagi pendeposit TH ialah apakah jaminan langkah kerajaan PH yang diwar-warkan sebagai strategi menyelamatkan TH akan memberi pulangan hibah sama menarik seperti diberikan BN pada tahun-tahun akan datang?

Apakah unjuran hibah TH untuk tahun-tahun seterusnya berdasarkan data unjuran pasaran dunia yang ada hari ini?

Unjuran hibah mestilah menunjukkan peningkatan baik kerana ia dapat menunjukkan keyakinan kerajaan PH terhadap strategi menyelamatkan TH yang diambil mereka dan ini juga membantu mengembalikan keyakinan pendeposit TH

Seterusnya, TH boleh mengumumkan langkah yang akan diambil agar unjuran hibah TH pada tahun-tahun akan datang akan dapat dicapai.

TH juga boleh mengambil kesempatan untuk menerangkan risiko yang ada dari semasa ke semasa yang boleh menjejaskan unjuran hibah tersebut agar pendeposit TH memahami situasi sebenar. Ini boleh mengelakkan keadaan panik dalam kalangan pendeposit TH.

Persoalan dan langkah di atas sangat penting kerana andainya jika TH terus mengumumkan kadar hibah mengecewakan pada tahun-tahun akan datang, risiko berlaku insiden “bank-run” amat tinggi.
Sekiranya ia berlaku, ia boleh melumpuhkan TH.

Ketika itu, menyalahkan Najib dan kerajaan BN yang lepas hanya akan menyebabkan kerajaan PH ditolak secara lebih meluas berbanding sekarang.

Tiada ulasan: