Rabu, 10 April 2019

Penduduk Rantau tak kisah cerita kekayaan Tok Mat







Mohamad Hasan disenangi penduduk Rantau kerana keperibadiannya 
yang suka membantu rakyat.
SEREMBAN: Rata-rata penduduk Rantau tidak kisah dengan isu kekayaan calon Barisan Nasional DUN Rantau, Mohamad Hasan yang dimainkan Pakatan Harapan baru-baru ini.

Tinjauan FMT mendapati keperibadian bekas menteri besar itu sendiri lebih menarik pengundi Rantau untuk kekal menyokong BN.

Penduduk yang temui, Abdul Salam Mohamad, 29, berkata dia tidak mahu mendengar isu keburukan pemimpin kerana masalah utama yang dihadapi penduduk adalah kos sara hidup yang semakin membebankan.

“Soal peribadi Tok Mat ada harta banyak kami tidak kisah, apa yang kami kecewa sekarang harga barang makin naik, beli barang RM100 tak penuh 2 beg.

“Kerajaan PH janji macam-macam tapi tidak tunai, janji PTPTN tak tunai, tol tak turun, harga barang makin naik, kami makin susah,” katanya.



Omar Abdul Kadir.
Sementara, Omar Abdul Khadir, 40, berkata pengundi tempatan sudah lama mengenali Mohamad dan isu kekayaannya tidak menjadi masalah kepada mereka.
“Kami pengundi tempatan kami sudah kenal Tok Mat, kami anggap itu perkara biasa.

“Ketika kempen pilihan raya semua orang boleh bercakap, kita dengar sajalah,” katanya.

Bagi Razman Ramli, 49, penduduk Rantau sudah lali dengan serangan peribadi oleh PH sejak sebelum pilihan raya umum lalu, tetapi sehingga kini tiada tangkapan dibuat.

“Macam Najib Razak dulu, sebelum pilihan raya macam-macam orang fitnah dia, tapi sampai hari ini tak masuk penjara lagi.

“Sekarang Tok Mat pula sasaran dan sekarang ini kalau mereka buat lagi tuduhan, orang sudah tidak percaya sebab kita lebih kenal Tok Mat.

“Kalau dia betul-betul lakukan tunjuk bukti, jangan cakap kosong,” katanya mengakui dirinya penyokong tegar BN.

Bagi Mohd Noor Deraman, 55, sejak Mohamad menjadi menteri besar pada 2004, ini kali pertama dia mendengar mengenai skandal RM10 juta dan banglo Mohamad.




Yeng Seng Sang.
“Kami tidak kisah, kalau benda buruk pasal Tok Mat kami tak nak dengar, banyak jasa dia, dulu tiap kali tiba hari raya warga emas terima RM300 seorang, tidak kira Melayu, Cina dan India, lagi orang serang lagi kita sokong,” katanya.


Sementara, Abdul Ghani Osman, 49, berkata, Mohamad bukan sahaja boleh memiliki rumah banglo bernilai RM6 juta tetapi lebih daripada itu.

“Dia orang korporat sejak sebelum masuk politik, dia ada duit banyak tapi tidak sombong dengan rakyat.

“Kalau pergi kenduri tidak duduk meja VIP, ini setengah wakil rakyat bila sudah berduit pegawai peribadi 3, 4 orang, bila minta bantuan berlagak sombong.

“Tapi Tok Mat sesiapa minta bantuan dia tidak pernah tolak,” katanya.

Yeng Seng Sang, 57, berkata memang lumrah orang politik memiliki kekayaan asalkan kebajikan rakyat terjaga.

“Tidak mengapa dia kaya sebab dia buat kerja, tapi tanggungjawab dia jadi wakil rakyat dia jaga, dia selalu bantu, minta bantuan dia terus tolong,” katanya.

Manakala, M Nathan 39, mengakui terkejut mendangar hasil kekayaan Mohamad, tetapi berkata selagi tidak mempunyai bukti yang kukuh, ia hanya tuduhan sahaja.

“Lagipun Tok Mat banyak bantu khususnya masyarakat India, dia beri bantuan kepada kuil, sekolah Tamil, malah sekolah Tamil di sini paling moden,” katanya.

Mohamad menjadi mangsa serangan PH melibatkan isu kekayaan yang didakwa memiliki banglo Minangkabau bernilai RM6 juta di Seremban 2.

Beliau juga dituduh memindahkan dana RM10 juta ke London pada 2009 melalui pengurup wang bagi tujuan pembelian pangsapuri.

Mohamad kemudian menafikan tuduhan tersebut mengatakan beliau tidak akan melayan tuduhan yang dianggapnya seperti “budak bodoh”.

Tiada ulasan: