Selasa, 2 April 2019

418 penjawat awam ditahan kerana rasuah tahun lalu

Ketua Balai Polis Setapak, Sherman Salleh (3 dari kanan) dan
anggota polis, Faizal Miza Zakariah (2 dari kanan) antara 5 
penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur 
pada 27 Mac lalu kerana disyaki menerima wang sogokan untuk 
melindungi rumah urut di sekitar ibu kota. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat diberitahu hari ini 140 daripada 418 penjawat awam yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam rasuah sepanjang tahun lalu, sudah dihadapkan ke mahkamah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin menjawab soalan Ikhmal Hisham Abdul Aziz (PH-Tanah Merah) yang bertanya perdana menteri, bilangan penjawat awam yang ditahan dan didakwa kerana rasuah tahun lalu.

Beliau turut bertanya jika kerajaan bercadang memindahkan penjawat awam selepas tempoh tertentu untuk mengelakkan rasuah.

Bagaimanapun, Hanipa berkata, Putrajaya tiada rancangan berbuat demikian setakat ini.

“Proses menempatkan penjawat awam bergantung kepada kekosongan di sesebuah tempat itu.”
Seramai 255 penjawat awam didakwa atas kesalahan berkaitan rasuah pada 2017.

Januari lalu, kerajaan melancarkan Pelan Anti-rasuah Nasional (NACP) sebagai amaran kepada semua, termasuk perdana menteri dan anggota Kabinet untuk menjauhi rasuah.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, perang terhadap rasuah akan menyaksikan pesalah dibawa ke muka pengadilan dan memastikan kesalahan lampau tidak berulang.

Tiada ulasan: