Jumaat, 15 Mac 2019

Umno sedia jual kepentingannya dalam Media Prima

MALAYSIAKINI

   

Umno sedia menjual kepentingannya di Media Prima, konglomerat media terbesar di negara ini.

Pemangku Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, tindakan itu perlu kerana Umno yang bukan lagi menjadi parti pemerintah di peringkat persekutuan memerlukan “bekalan” untuk terus bernafas.

“Kita akan menjual pegangan kita dalam Media Prima. Tidak banyak yang boleh kita buat dengannya dan kita juga tidak ada wakil dalam lembaga pengarah.

“Paling tidak ia boleh menampung perbelanjaan kita untuk dua tahun setengah,” kata Mohamad yang dipetik oleh portal Free Malaysia Today, hari ini.

Bulan lalu, Umno melepaskan pegangan saham sebanyak 31.6 peratus dalam Kumpulan Utusan yang akhbar utamanya, Utusan Malaysia, terus dipertahankan penerbitannya dengan wang daripada parti.
Sebelum ini, Umno melabur dalam syarikat media gergasi besar dan kawalannya ke atas firma terbabit berterusan sehingga media tradisional kehilangan wang dan pengaruhnya.

Media Prima mempunyai empat stesen televisyen (TV3, NTV7, 8TV and TV9), tiga surat khabar (New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro) dan empat stesyen radio (Fly FM, Hot FM, one FM and Kool FM).

Masalah kewangan
 
Tahun lalu, sewaktu Umno masih bergelut dengan kekalahan tidak terduga pada Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14), 900 akaun bank yang dikaitkan dengannya dibekukan berhubung transaksi melibatkan skandal 1MDB.

Pada masa yang sama beberapa ahli parlimennya bertindak meninggalkan parti, sementara pemimpin tertingginya disiasat dan sesetengahnya diheret ke mahkamah. Mereka termasuk bekas perdana menteri, Najib Razak dan presiden Umno, Ahmad Zahid hamidi.

Wang sebelum ini dikatakan bukan satu-satunya masalah yang dihadapi Umno.

“Umno sebuah pertubuhan besar dan memerlukan wang yang banyak untuk mengurusnya. Mengurus ibu pejabat sahaja memakan belanja besar.

“Sekarang untuk bayar gaji pun susah,” akui Mohamad.
Mohamad Hasan
Namun, bekas menteri besar Negeri Sembilan yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Rantau pada 13 April ini yakin kekalahan Umno-Barisan Nasional (BN) pada PRU14 adalah satu rahmat.

“Parasit dalam parti telah tiada. Ramai sudah sedar.

“Kita kalah sebab kita sombong dan ego. Orang menyampah. Sifat ini kita kena kikis,” tambahnya selaku timbalan presiden Umno.

Melayu sokong Umno
 
Mohamad mengambil alih tampuk parti pada Disember 2018 selepas Ahmad Zahid mengumumkan dirinya akan bercuti selepas didakwa dengan beberapa pertuduhan rasuah di mahkamah.

Di sebalik hanya menguasai Pahang dan Perlis, Mohamad bersikap optimistik terhadap sokongan orang Melayu terhadap Umno.

“Adakah cawangan Umno yang dibubarkan? Tidak ada. Di bahagian saya, kedatangan ahli ke mesyuarat lebih ramai kerana semangat mereka berkobar-kobar sekali,” katanya.

Katanya, Umno mempunyai 22,000 cawangan Umno yang masih utuh.

Malah menurutnya, Umno menemui kekuatan dengan bekerjasama dengan bekas musuh tradisinya, PAS.
“Bila Umno dan PAS bekerjasama, BN akan menjadi lebih kuat kerana Umno juga bertambah kuat.
Kalau MCA dan MIC boleh mencontohi langkah Umno dan PAS, saya fikir itu satu rahmat.

“Kita telan ego kita. Ini untuk rakyat.” kata Mohamad sambil menolak tanggapan bahawa Umno tunduk kepada nilai-nilai yang dibawa oleh PAS.

“Tidak ada sesiapa yang boleh memaksakan nilainya ke atas orang lain. PAS tak boleh memaksakannya ke atas kita dan Umno juga tidak boleh memaksa PAS,” katanya.

“Kita cuma atur strategi untuk bekerjasama bagi menghadapi pilihan raya. Itu sahaja. Umno tetap Umno. PAS tetap PAS,” katanya.

Simpanan tetap
 
Beliau berkata, kerjasama itu tidak akan memberi kesan ke atas sokongan kepada BN di Sabah dan Sarawak, yang sebelum ini dianggap “simpanan tetap” gabungan itu semasa pilihan raya.

Walaupun terkubur di Sabah, beliau yakin parti itu kini mendapat nafas baru.

“Di Sarawak, kita faham kenapa mereka membuat keputusan sendiri di luar BN.

“Mereka hendak menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan sentimen di sana terhadap parti persekutuan memang tidak baik. Mereka mahukan parti sendiri.

“Kita faham itu tetapi lebih penting ialah kita mempunyai hubungan yang masih kuat dan baik,” katanya.


Pada wawancara dengan FMT itu, Mohamad juga menolak asakan tentang kecenderungan Umno menggunakan retorik kaum dan agama bagi meraih sokongan.
Katanya, beliau menggesa ahli parlimen dan senator Umno supaya memberi tumpuan kepada isu berkaitan ekonomi.

“Rakyat sekarang gelisah mengenai ketidaktentuan dalam ekonomi. Peniaga mengalami masalah, perniagaan jelas jatuh teruk dan kuasa beli berkurangan.

“Saya rasa 30-40 peratus sektor masyarakat kita tidak terpikat dengan isu itu (kaum dan agama). Mereka lebih kepada isu makan-pakai, kepada keadaan ekonomi,” katanya.

“Sampai sekarang sudah 10 bulan selepas PRU ke-14, keadaan tidak menentu. Kerajaan yang ada sekarang tidak mendapat mandat yang kuat.

“Bila kerajaan tidak mantap, hasilnya rakyat akan menderita kerana ekonomi kita tidak berapa baik,” katanya.


Tiada ulasan: