AMARAN dilaungkan
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa kerjasama PAS - Umno merupakan
ancaman yang dikatakan sebagai perang kepada rakyat bukan Islam adalah
bersifat hasutan. Ia boleh mengundang gugatan terhadap ketenteraman awam
dan sama sekali tidak sepatutnya dikeluarkan oleh individu berstatus
Menteri Persekutuan.
Pimpinan Kerajaan Malaysia yang juga
pimpinan parti politik pemerintah dari PH mutakhir ini dilihat cenderung
mengeluarkan kenyataan yang boleh meletuskan sentimen perkauman. Malah,
ia juga dilihat membesarkan lagi prasangka dan jurang perkauman yang
telah sedia wujud. Malangnya, api itu dimarakkan pihak yang memegang
teraju pemerintahan.
Sikap tidak cermat mengeluarkan
kenyataan sedemikian boleh jadi dirancang atau mengarah kepada motif
tertentu yang tidak baik. Bahkan sangat mungkin ianya kelaziman
memandangkan sekian lama menjadi pembangkang sebelum ini. Namun, ia
menyerlahkan perkara diperjuang atau didoktrinkan oleh mereka untuk
dijelmakan ke atas rakyat negara ini.
Sedangkan selaku kerajaan mereka lebih
menumpukan usaha mengukuhkan rakyat Malaysia yang berdiri dari latar
belakang pelbagai agama dan bangsa ini. Juga mesti segera menumpu
perkara-perkara pokok pentadbiran negara khususnya reformasi sistem
kerajaan serta janji-janji. Semua ini perkara diperjuangkan dan
dimanifestokan PH sendiri.
Kerajaan juga sewajibnya menjadi
penenang kepada rakyat, bahkan perlu berdiri sama serta sentiasa
mengingati bahawa negara berakyat majmuk ini telah disatu kuatkan oleh
kontrak sosial yang jelas. Ia harus kekal menjadi pegangan dihormati
serta panduan ke arah membina Malaysia yang lebih maju dengan perpaduan
rakyat semakin teguh.
Realitinya, Malaysia Baharu di bawah
teraju PH masih kabur, selain terus mengancam perpaduan rakyatnya dengan
sentimen-sentimen kaum yang galak dimainkan para politikus PH. Keadaan
ini boleh meletakkan negara kepada situasi kritikal jika ia tidak
dibendung. Ketika itu, pihak kerajaan memerintahlah harus dipersalahkan
atasnya.
Oleh demikian, kami menggesa satu
tindakan tegas perlu diambil pihak kerajaan terhadap Menteri terbabit
serta sebarang kenyataan berunsur hasutan dan ancaman ke atas rakyat dan
negara oleh sesiapa sahaja. Ia penting agar integriti pemerintahan
melibatkan pemisahan kuasa Eksekutif dan Kehakiman benar-benar
diterjemahkan.
Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia
untuk sama-sama menghormati segala terma yang telah termaktub di dalam
Perlembagaan Persekutuan dan memperbanyakkan usaha ke arah memupuk
perpaduan serta integrasi nasional. Semoga dengan usaha kecil mampu
dilakukan kita akan memastikan Malaysia terus mara dengan penuh semangat
setia dan keharmonian hidup rakyatnya.
"Islam Memimpin" -"Terus Mara"
*MOHAMMAD ARIFIRIAZUL PAIJO- Pengerusi Lajnah Perpaduan NasionalDewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan