Isnin, 18 Mac 2019

Mokhtar: PAS, Umno sebenarnya tak pernah bermusuh

MALAYSIAKINI

   

Sedangkan dua pihak yang bermusuh pun diajar Islam supaya disambut tangan yang menghulurkan damai, apatah lagi Umno yang tidak bermusuh dengan PAS, kata Ketua Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik hari ini.

Kata anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu lagi pertikaian di antara partinya dan Umno sebelum ini hanya disebabkan kekeliruan dan peranan pihak ketiga.

Bagaimanapun Mokhtar tidak menamakan pihak ketiga yang dimaksudkannya itu.

"Islam mengajar jika pihak musuh menghulurkan salam perdamaian, maka kita hendaklah menyambutnya.

"Inikan pula PAS dan Umno yang sebenarnya tidak bermusuh. Hanya kekeliruan dan peranan pihak ketiga yang memisahkan PAS-Umno selama ini," katanya.

Dia berkata demikian melalui hantaran di media sosial bagi menjawab kritikan yang dikeluarkan tokoh Amanah mengenai kemesraan PAS dan Umno ketika ini.

Terdahulu Sulaiman Ibrahim - atau lebih dikenali sebagai Leman Raja Lawak - mendakwa Umno akan 'menendang' PAS pada suatu hari nanti selepas kedua-dua parti terbabit bekerjasama erat sekarang.

Pendirian pada zahir
 
“Suka saya menyebut bahawa maslahah (kebaikan) daripada kerjasama di antara PAS dan Umno ini sudah jelas dan nyata.

“[...] Apa yang pelawok itu sebut hanya ramalan yang belum tentu berlaku dan terjadi.

"Bukankah kaedah fiqh menyebut: Jangan ditinggalkan kebaikan yang telah jelas (mendatangkan kebaikan) hanya disebabkan (bimbang) kepada kefasadan (keburukan) yang belum pasti,” kata Mokhtar.

Pelawok ialah dialek Pantai Timur yang boleh membawa dua maksud, iaitu pelawak, atau orang yang suka berbohong.

Selain itu, Mokhtar turut mengulas kritikan beberapa pihak lain terhadap kerjasama yang terjalin di antara Umno dan PAS.

Antaranya, dia memberi respons terhadap kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir, yang mendakwa kerjasama dijalin PAS dan Umno itu tidak ikhlas.
Kata Mokhtar, manusia hendaklah membuat pendirian dengan perkara zahir manakala aspek yang tidak dapat dilihat terserah kepada Allah.

“Kata ulamak, teruskan zikir walau tidak ikhlas kerana dengan berzikir itulah nanti akan datangnya ikhlas.

"Kalau zikir dihentikan kerana alasan tidak ikhlas, maka bilakah akan diperolehi keikhlasan?

“Ahli PAS dan Umno tidak perlu terpengaruh dengan kenyataan warak Mukhriz itu.

"Ketika memulakan kerja-kerja yang baik dan kebajikan, cukup sekadar kita gariskan objektifnya,” katanya lagi.
Dalam hantaran sama Mokhtar juga membidas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, yang menyamakan kerjasama Umno dan PAS seperti hubungan perompak dengan penipu.

Biarpun jika Umno disifatkan perompak dan PAS penipu, kata Mokhtar, tidak ada salahnya kerjasama itu jika bertujuan untuk menjatuhkan PH yang disifatkannya sebagai lemah dan menipu rakyat.

“Kalaulah kerjasama PAS dan Umno itu dianggap semacam haram sedang kedua-duanya sama-sama Muslim, maka bagaimana pula kerjasama parti-parti Melayu dengan DAP yang mendominasi PH?

“[...] Memang pimpinan PH dan laskar siber upahan mereka akan membangkitkan dosa Umno dan PAS untuk menutup dosa-dosa mereka.

“Sedangkan dosa-dosa mereka itu lebih memudaratkan agama dan negara,” katanya lagi.


Tiada ulasan: