Rabu, 20 Mac 2019

Menteri nasihat CUEPACS hati-hati keluarkan kenyataan

Muhammad Azizul Osman
xMGF20032019_DATUK-DZULKEFLY-WOHD-201998-681x452
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Zulkefly Ahmad bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia (WOHD) 2019 di di Dewan Serbaguna, Kementerian Kesihatan, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 
 

PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menasihati Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CEUPACS) supaya  berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung penjawat awam di negara ini.

Ujar beliau, kesatuan itu tidak harus ada stigma terhadap penjawat awam yang berjumpa pakar psikiatri mahupun memilik kad berkenaan.

“CUEPACS harus berhati-hati dalam keluarkan kenyataan. Ini bermakna kalau seseorang itu datang untuk dapatkan rawatan tentang tekanan jiwa, keresahan dan kemurungan maka dia tergolong dalam kategori pesakit.

“Itu tidak boleh buat stigma, bila sebut sahaja ada kad psikiatri mesti ada dalam kepala umum adalah gila. Ini sangat negatif,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia 2019 di kementeriannya, hari ini.

Dr Dzulkefly menjawab pertanyaan media mengenai pendedahan CEUPACS bahawa 25 hingga 30 peratus daripada 1.7 juta penjawat awam di negara ini memiliki kad psikiatri dan mengalami tekanan jiwa.

Dalam laporan MalaysiaGazette semalam, Presiden CEUPACS, Datuk Azih Muda, berkata lebih 400,000 penjawat awam memilik kad psikiatri.

Malah katanya, kesemua jumlah itu masih meneruskan tugas masing-masing di semua peringkat perjawatan di 700 jabatan dalam semua sektor.

“Menerusi data indeks kesejahteraan pekerja sehingga 2019, jumlah penjawat awam yang mengalami tekanan emosi tidak meningkat secara mendadak, namun trend itu tidak juga menunjukkan pengurangan sejak beberapa tahun lalu,” dedah beliau semalam.

Justeru itu, Dr Dzulkefly berkata rakyat negara itu tidak harus membuat persepsi bahawa sekiranya sesiapa sahaja yang berjumpa dengan pakar psikiatri boleh dianggap menghadapi tekanan jiwa.

“Jika jumpa sahaja psikiatri, terus hukum bahawa mereka adalah pesakit mental. Ini satu contoh.

“Kita tahu bahawa satu daripada tiga rakyat negara ini sememangnya mengalami tekanan jiwa, keresahan dan kemurungan. Jadi tidak mustahil kalau CUEPACS mendedahkan 25 peratus daripada penjawat awam ada kad psikiatri, tapi ia lebih daripada itu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: