Isnin, 25 Mac 2019

'Berani kahwin, berani daftar, berani tanggung'


   
Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman berkata tanggungjawab memastikan pengenalan diri kanak-kanak adalah tanggungjawab ibu-bapa sepenuhnya.

Ahli Parlimen Warisan itu juga mengingatkan bahawa perkahwinan tidak berdaftar turut merupakan punca masalah kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.

"Saya faham ada banyak masalah yang berlaku di negara kita berkenaan dengan isu kanak-kanak yang tanpa dokumen, tetapi seperti yang saya sebut dalam jawapan saya, bebanan terhadap pembuktian anak ini terletak di bahu ibu bapa tersebut, bukan di bahu kerajaan.

"Masalah yang berlaku ini, banyak perkahwinan yang sebenarnya tidak didaftarkan. Apabila tidak didaftarkan, anak yang dilahirkan yang akan menanggung masalahnya.

"Sebab itu saya menyeru kepada rakyat Malaysia, berani kahwin, berani daftar, berani tanggung," katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Azis berkata demikian sebagai merujuk kepada situasi apabila bapa kanak-kanak itu warganegara tetapi ibunya bukan warganegara dan perkahwinan tidak didaftarkan, yang akan menyebabkan status kanak-kanak itu bukan warganegara.

Azis mengingatkan bahawa status warganegara secara automatik hanya diberikan kepada kanak-kanak yang mempunyai ibu warganegara.

Timbalan menteri itu menjawab soalan daripada Ngeh Koo Ham (PH-Beruas), yang menanyakan tentang keputusan kerajaan berhubung kanak-kanak tanpa kewarganegaraan dari keluarga yang mana ibunya bukan warganegara dan tidak mendaftar perkahwinan.

Bagaimanapun beliau menjelaskan bahawa kerajaan masih akan mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan sekiranya ibu bapa kepada kanak-kanak tersebut mendaftar lewat perkahwinan mereka, selepas kelahiran kanak-kanak tersebut dan ibunya bukan warganegara.

"Permohonan kewarganegaraan kanak-kanak tersebut boleh dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di bawah perkara 15A dan akan dipertimbangkan sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan," katanya."

Artikel 15A menyatakan kerajaan persekutuan "dalam apa-apa hal keadaan khas yang difikirkannya patut, menyebabkan mana-mana orang yang di bawah umur dua puluh satu tahun didaftarkan sebagai warganegara."

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: