Keputusan PKR untuk kekalkan Dr S Streram sebagai calon PH bagi pilihan raya kecil (PRK) Rantau dibuat kerana presidennya tidak sampai hati untuk menukarnya dengan calon lain.
Berucap di hadapan kira-kira 500 hadirin, Anwar Ibrahim berkata sikap perikemanusian yang tinggi antara faktor yang mendorong untuk meletakkan pakar bius itu di Rantau.
“Hak Streram dinafikan dan dia dizalimi. Dia jadi mangsa kezaliman dan penipuan. Tapi saya tetap pilih dia sebab apa?
“Dan kita tengok sejarah, dia India, beragama Hindu tetapi dia sukarela pergi ke Afghanistan untuk tolong orang Islam yang luka parah.
“Dia pergi Syria, tempat orang luka parah untuk jadi sukarelawan. Dia doktor perubatan untuk tolong orang susah, orang Islam yang susah.
“(Timbalan Presiden Umno) Mohamad Hasan pergi mana? Itu sebabnya, saya tak sanggup nak tukar (Streram),” katanya ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Calon PRK N27 Rantau, di Mambau, Negeri Sembilan, hari ini.
PH pada 11 Mac kekal mencalonkan Streram di PRK DUN Rantau dan ia diumumkan Anwar sendiri.
Menurut biodatanya, dia pernah berkhidmat di bawah program Doctors Without Borders di Sudan, Hong Kong dan Afghanistan.
Beliau yang merupakan timbalan ketua cabang PKR Rembau sepatutnya bertanding di situ pada PRU ke-14, tetapi dihalang menghantar borang pencalonan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ia menyebabkan pemangku presiden Umno Mohamad Hassan menang tanpa bertanding.
Pada Nov lalu Mahkamah Khas Pilihan Raya kemudian mengisytiharkan kemenangan itu tidak sah dan terbatal, serta mengarahkan pilihan raya semula diadakan.
Mohamad dijangka akan bertanding mempertahankan kerusi Rantau 13 April ini.
“Saya lantik semua yang ada dalam dewan sebagai penyelaras penerangan DUN Rantau. Tak payah surat-surat watikah dan kalau SPR tanya tunjuk saja video (yang dirakam jurukamera) kepada SPR,” katanya.
Terdahulu Anwar hadir ke Parlimen Rantau bagi sesi pengenalan calon DUN tersebut.
Antara pemimpin PH yang turut hadir ialah Pengerusi Bersatu Bersatu Negeri Sembilan, Rais Yatim; Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun; pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PKR, Tian Chua; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan