Sabtu, 10 November 2018

UMNO KEKAL SEBAGAI PEMBANGKANG – ZAHID

Wartawan Watan-Online
 



UMNO memutuskan untuk kekal sebagai pembangkang berkesan dan menutup sebarang pintu rundingan ataupun perjanjian bagi membolehkan parti itu kembali berkuasa.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO kini sedang bangkit dan membentuk sebuah gagasan pembangkang yang kuat.

Malah katanya, Ahli Parlimen UMNO yang ada kini juga turut berikrar untuk terus setia dengan parti dan ia menjadi kekuatan kepada UMNO.

“Rakan-rakan saya Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan beserta pergerakan sayap-sayap melihat sendiri bahawa di bawah mahu UMNO terus kuat memperkukuhkan dirinya sebagai sebahagian daripada gagasan pembangkang.

“Jadi tidak perlu kita mengetuk pintu sesiapa atau pintu kita diketuk bagi mengadakan sebarang bentuk perjanjian perundingan dan sebagainya.

“Kita harus bergerak sebagai sebuah parti yang kuat dan kita harus bersama-sama,” tegas beliau dalam satu sidang media di PWTC selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Majlis Tertinggi (MT) UMNO di PWTC, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut menekankan tentang perpaduan dalam kalangan ahli Parlimen sebagai aset utama UMNO yang perlu dipererat bagi mengekalkan momentum dimiliki parti pada masa kini.

“Aset utama kita adalah ahli-ahli Parlimen dan kita harus memperkukuh perpaduan di kalangan kita.
“Kita yakin keseluruhan 48 ahli-ahli Parlimen tetap bersama-sama dengan kita dan sebarang keputusan dibuat secara bersama.

“Mereka tidak mahu meninggalkan UMNO dan mahu terus bersama sebagai ahli Parlimen UMNO,” tegas beliau.

Tiada ulasan: