Khamis, 15 November 2018

Penyokong menangis teresak-esak peluk Rosmah

Rahimah Abdullah, Astro Awani
Penyokong menangis teresak-esak peluk Rosmah
Wan Norliza Wan Haron, yang juga merupakan salah seorang anggota UMNO menangis teresak-esak sambil memeluk Rosmah yang ingin memasuki kenderaannya. - Foto Astro AWANI
 
KUALA LUMPUR: Seorang penyokong setia Datin Seri Rosmah Mansor tidak dapat menahan sebak susulan pendakwaan ke atas isteri bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Wan Norliza Wan Haron, yang juga merupakan salah seorang anggota UMNO menangis teresak-esak sambil memeluk Rosmah yang ingin memasuki kenderaannya.

Turut sama suaminya yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Situasi itu berlangsung selama lima minit dan Wan Norliza turut memberi kata-kata semangat kepada Rosmah.
 
BACA: Projek hibrid solar: Rosmah mengaku tidak bersalah terima rasuah RM1.5 juta

Kata Norliza, Rosmah dan Najib tidak diberikan keadilan sewajarnya.
 
 “Apa yang dituduh ialah tiada bukti dan terus diikat jamin. Semata-mata nak duit,” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Rosmah hari ini mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menerima  rasuah melibatkan projek hibrid solar untuk sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak, bernilai RM1.25 bilion.

Beliau dituduh menerima rasuah melalui Datuk Rizal Mansor sebanyak RM187.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic dan penyelenggaraan Genset atau diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah dituduh menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta dari Saidi Abang Samsudin syarikat sama sebagai upah melakukan perkara sama.

Rosmah dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin. Wang jaminan RM500,000 akan dibayar hari ini dan bakinya dalam masa seminggu.

Kes disebut semula 10 Disember ini. 
 
 
 

Tiada ulasan: