Ahad, 11 November 2018

Najib pulangkan istilah janji 'dicapati' pada PH

MALAYSIAKINI

   

Istilah 'janji dicapati' yang sebelum ini sering diguna oleh pengkritik kerajaan BN di bawah pimpinan Najib Razak, hari ini digunakan semula oleh bekas perdana menteri itu terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Najib menggunakan istilah itu ketika menyentuh berhubung janji PH untuk menghapuskan hutang peneroka Felda.

Najib mendakwa, dalam pertemuannya dengan pekebun dan penduduk di beberapa negeri, beliau banyak mendengar rintihan dan kekecewaan berhubung harga sawit yang jatuh.

"Di sebalik harga jatuh teruk, kos tetap bagi mengusahakan kebun pula meningkat.

"Harga baja, harga keperluan harian dan barang dapur naik lagi dengan SST sambil kos gaji pekerja asing yang membantu mereka naik manakala bayaran dari Felda lewat, subsidi dikurangkan dan dimansuhkan.

"Janji-janji mereka untuk menghapuskan hutang Felda dan membantu peneroka-peneroka juga telah dicapatikan," katanya.

Tambah Najib, kerajaan PH seharusnya memberi lebih bantuan dan tumpuan kepada golongan berkenaan tetapi ia tidak berlaku.

Sebaliknya, katanya, peruntukan untuk bantuan musim tengkujuh pekebun kecil dihapuskan sama sekali dalam Belanjawan 2019.

"Nak harapkan BR1M untuk jadi penampan kepada kesempitan ini pun bagai langit dan bumi kerana BR1M dipotong dengan banyak untuk tahun depan. Entah dapat entah tidak. Itupun tak lama lagi ia akan dihapuskan juga.

"[....] Kerajaan boleh berdendam dengan saya dan mengenakan berpuluh dakwaan ke atas saya dan keluarga. Mereka mahu bubarkan Umno.

"Mereka boleh memburukkan nama dan parti saya setiap hari untuk mengalih perhatian tetapi kesejahteraan hidup golongan-golongan yang besar ini tetap keutamaan saya pada tempoh saya perdana menteri di bawah parti Umno.

"Kini mereka sudah jadi kerajaan. Janganlah mengabaikan nasib 650,000 keluarga pekebun dan pengusaha sawit dengan berjuta-juta penduduk luar bandar di seluruh negara," katanya.

Untuk rekod, menghapuskan hutang peneroka Felda merupakan salah satu daripada 10 janji 100 hari PH.

Setakat ini, tiada pengumuman berhubung perkara itu oleh PH kecuali pengumuman bahawa kerajaan sedang melihat pelbagai cara untuk mengurangkan hutang yang dikenakan terhadap peneroka Felda.


Tiada ulasan: