Khamis, 15 November 2018

Menteri wajar tolak jawatan lain demi kredibiliti, kata penganalisis


Awang Azman Awang Pawi berkata PH tidak perlu terikut-ikut 
amalan kerajaan terdahulu di mana menteri boleh memegang 
pelbagai jawatan.
KUALA LUMPUR: Seorang menteri kabinet wajar menolak sebarang jawatan lain yang ditawarkan kepada mereka agar dapat memberi fokus kepada bidang tugas mereka yang lebih kompleks dan mencabar.

Ini bagi menjaga kredibiliti dan imej mereka selain memastikan mereka dapat fokus kepada tugas berat yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Pensyarah kanan Universiti Malaya Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berkata pendirian untuk tidak memegang jawatan selain dari tugas hakiki seorang menteri harus ditanam di dalam kepimpinan kerajaan baharu.

“Fokuslah kepada tugas hakiki mereka sebagai menteri dan tidak perlu terima jawatan dalam sebarang organisasi lain khususnya yang memerlukan komitmen tinggi.
“Sudah tentulah (jika ada) menteri yang ditawarkan secara rasmi untuk memegang jawatan selain daripada tugas hakiki, tidak salah jika mereka menolak dan memberi peluang kepada individu lain yang lebih layak,” katanya kepada Bernama.

Awang Azman berkata demikian sebagai mengulas kewajaran bagi seorang menteri untuk aktif memegang jawatan selain daripada portfolio mereka dalam kabinet.

Antara yang menjadi isu ialah apabila Menteri Pendidikan Maszlee Malik menerima jawatan presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sesuatu yang dilihat bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14, selain mempunyai konflik kepentingan dengan jawatan menteri itu sendiri.

Baru-baru ini Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga presiden PPBM menasihati Maszlee agar melepaskan jawatan presiden UIAM itu dengan segera.

Maszlee turut berkata beliau menghormati keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Kabinet dan seruan Muhyiddin berhubung isu jawatan itu.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata PH tidak perlu terikut-ikut dan berbuat perkara sama di mana seorang menteri boleh memegang pelbagai jawatan seperti yang dipraktikkan sekian lama oleh kerajaan terdahulu.

“Amalan sedemikian perlu dibanteras segera agar tidak menimbulkan persepsi dalam kalangan rakyat serta bagi mengelak timbulnya konflik kepentingan apabila memegang jawatan selain daripada menteri.

“Barisan menteri yang baharu sekarang tidak harus sibuk dengan hal lain selain kementerian mereka. Mereka perlu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap bidang tugas mereka tambahan mereka masih baharu dan soal ini juga selari dengan manifesto PH,” tambahnya.

Contohnya, dalam isu Maszlee, fungsi beliau terhadap tugas hakiki sebagai menteri dilihat mungkin sudah terjejas akibat kesibukan serta komitmen memegang jawatan lain sehingga menyebabkan krisis kepercayaan dalam kalangan rakyat.

“Menteri pendidikan tugasnya sangat mencabar. Ia bukan sekadar fokus isu kasut atau yang berkaitan sekolah. Fungsinya lebih lagi khususnya untuk pembangunan modal insan yang bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi merangkumi lebih 20 buah universiti awam dan swasta di negara ini,” jelasnya.

Sementara itu, anggota Institut Integriti Malaysia Dr Tan Seng Giaw berkata sebagai anggota pimpinan kerajaan adalah lebih baik jika seorang menteri tidak memegang jawatan lain atas dasar integriti kepada tanggungjawab hakiki mereka.

“Sebaiknya elakkan dan tidak perlu pegang jawatan sampingan, lebih-lebih lagi jika jawatan itu ada kena mengena dengan portfolio dalam kementerian. Sebagai menteri perlulah tunjukkan integriti dan nilai murni dalam menjalankan tugas,” katanya.

Tiada ulasan: