Rabu, 7 November 2018

Hakim rujuk krisis Perak untuk kekalkan Shafie Apdal




KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kekal sebagai ketua menteri Sabah apabila Mahkamah Tinggi memutuskan pelantikan beliau mengikut perlembagaan.

Hakim Datuk Yew Jen Kie berkata berdasarkan keputusan kes Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menentang Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, apabila kabinet Sabah termasuk ketua menteri dilihat melepaskan jawatan masing-masing, ia membuka jalan bagi Yang di-Pertua Tun Juhar Mahiruddin melantik Shafie bagi menggantikan Tan Sri Musa Aman mengikut Perkara 6(3) perlembagaan Sabah.

Hakim merujuk kepada krisis perlembagaan yang berlaku di Perak pada 2009 apabila Barisan Nasional (BN) menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) berikutan peralihan sokongan Adun, mengakibatkan menteri besar ketika itu hilang penguasaan terhadap kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri.

“Sama jugalah, jawapan bagi isu itu, sama ada pelantikan defendan kedua (Shafie) tidak mengikut perlembagaan, tidak sah dan terbatal, adalah tidak,” kata Yew ketika menyampaikan ringkasan penghakiman.

Beliau memutuskan Musa hilang penguasaan terhadap majoriti di DUN apabila 6 Adun BN berpaling tadah, menyebabkan jumlah kerusi gabungan itu berkurangan daripada 29 kepada 23 daripada 60 kerusi.

Yew berkata Juhar yakin Musa tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti di DUN berdasarkan perisytiharan berkanun 6 Adun berkenaan.

“Pada 11 Mei 2018, defendan pertama (Juhar) menerima 6 perisytiharan berkanun yang disahkan 6 Adun daripada BN Sabah, bagi mengisytiharkan sokongan mereka kepada defendan kedua (Shafie) untuk dilantik sebagai ketua menteri,” katanya.

Hakim seterusnya berkata, semasa Musa menghadap Juhar, Juhar meminta Musa mengemukakan peletakan jawatan kerana tidak lagi mempunyai penguasaan terhadap kepercayaan majoriti Adun, tetapi plaintif enggan berbuat demikian.

“Maka, berdasarkan kefahaman beliau bahawa plaintif enggan mengemukakan peletakan jawatan kabinet negeri mengikut Perkara 7(1) perlembagaan Sabah, maka plaintif dan kabinet negeri dianggap sudah melepaskan jawatan masing-masing dan defendan seterusnya melantik defendan kedua (sebagai ketua menteri) mengikut Perkara 6(3), dibaca bersama-sama Perkara 10(2)(a) perlembagaan Sabah,” kata beliau.

Ketika menjelaskan perkataan “majoriti” dalam Perkara 6(7) perlembagaan Sabah, Yew berkata kefahaman plaintif tentang perkara itu dan hujahnya bahawa BN adalah sebuah parti politik tidak dapat dipertahankan kerana BN adalah gabungan politik yang dianggotai banyak parti politik.

Katanya, BN bukan sebuah parti politik walaupun ia sebuah entiti berdaftar dan calon parti yang bertanding pada pilihan raya umum ke-14 menggunakan simbol BN.

“Tiada bezanya dengan gabungan diterajui defendan kedua, walaupun ia tidak didaftarkan dan calon daripada parti itu bertanding dengan menggunakan simbol parti masing-masing,” kata beliau.

Hakim menambah hujah plaintif tentang perkataan “majoriti” dalam “Perkara” itu perlu diberi makna biasa, yang bermaksud “majoriti relatif” “paling banyak” dan bukan “majoriti mutlak”, juga tidak boleh dipertahankan.

Tiada ulasan: