Isnin, 5 November 2018

BUAT JANJI MEMANG MUDAH – MAHATHIR




Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui sukar untuk menunaikan janji bagi menyediakan sejuta rumah mampu milik untuk rakyat dalam tempoh 10 tahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Beliau sedar bahawa untuk melafazkan sesuatu janji itu adalah mudah berbanding melaksanakannya selepas berjaya mendapat mandat daripada rakyat.

Bagaimanapun beliau me­ngulangi komitmen kerajaan yang dipimpin untuk menyedia­kan sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun seperti dijanjikan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)

“Buat janji memang mudah, terutama bila pilihan raya, janji apa saja untuk dapat sokongan tapi tunai janji tidak seperti buat janji.

“Sejuta bukan angka kecil untuk rumah, tetapi ini janji kita dan kita akan tunaikan janji untuk bina sejuta rumah dalam jangka masa 10 tahun,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran FundMyHome.com di Eco Majestic di Kuala Lumpur, pada Isnin.

Mengulas lanjut dalam sidang akhbar, Mahathir berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan mempelawa sektor swasta untuk membantu membina rumah mampu milik kepada rakyat.

“Ada rumah yang akan kerajaan bina tetapi kebanyakan kita pelawa sektor swasta untuk membekalkan rumah mampu milik ini kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Mahathir yakin usaha EdgeProp Sdn. Bhd. membangunkan skim pembiayaan yang disediakan oleh FundMyHome.com, sebuah platform digital akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah pertama mereka.


Tiada ulasan: