Ahad, 11 November 2018

Bonus setengah bulan atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam P.Pinang – Chow

THE MALAYSIAN TIMES
 


GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 untuk anggota perkhidmatan awam negeri.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow ketika membentangkan Belanjawan 2019 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri berkata bayaran bonus kepada 3,915 penjawat awam negeri itu akan dibuat Disember ini.

“Sebagai penghargaan, kerajaan negeri meluluskan bayaran bonus akhir tahun bersamaan dengan setengah bulan gaji bulanan atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri,” katanya di sini hari ini.

Beliau berharap pemberian bonus yang akan melibatkan sejumlah RM5.23 juta itu dapat menaikkan semangat penjawat awam negeri dalam menjalankan tugas mereka.

Chow berkata kerajaan negeri juga akan memberikan bonus RM300 kepada 1,590 penyelia dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA); 270 guru Sekolah Rendah Agama Rakyat; 182 Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat; serta 572 Guru dan staf Sekolah Persendirian Cina.

Seramai 240 guru Tahfiz, Guru Pondok dan Guru Tadika Islam pula akan menerima RM200 setiap seorang.

“Pembayaran kepada kumpulan itu yang akan melibatkan RM832,000 tambahan, juga akan dibayar Disember ini.

Tiada ulasan: