Selasa, 28 Ogos 2018

Tular tak perlu bayar RM1 di hospital kerajaan tidak benar!

Sinar Harian/ ASTRO AWANI
Tular tak perlu bayar RM1 di hospital kerajaan tidak benar!
Paparan skrin tular berkenaan yang disertakan dengan keratan akhbar. -Foto Sinar Harian
 
KUALA SELANGOR: Tular hantaran di Facebook kononnya bayaran RM1 tidak lagi digunakan di hospital kerajaan dan skim insurans dengan penolakan lima peratus dari gaji bulanan akan dimulakan tahun depan.

Hantaran itu juga memaklumkan semua rakyat Malaysia akan dikenakan skim ini tanpa sebarang pengecualian dengan disertakan keratan akhbar tempatan bertajuk ‘Skim insurans kesihatan akan dilaksana Januari 2019’.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan itu, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan kenyataan yang tular dalam media sosial itu tidak benar dan spekulasi semata-mata.

Menurutnya, kenyataan yang mengatakan lima peratus daripada pendapatan bulanan akan ditolak bagi membiayai Skim Perlindungan Kesihatan B40 adalah tidak benar termasuk pemansuhan bayaran RM1 dan RM5 di fasiliti kesihatan kerajaan.

“Untuk makluman, rakyat yang dikategorikan di bawah B40 akan dibiayai sepenuhnya di dalam skim ini atau diberikan subsidi penuh oleh kerajaan.

“Dalam pada itu, perkhidmatan kesihatan dan perubatan di semua klinik dan hospital kerajaan adalah dikekalkan dan diteruskan seperti biasa.

“Pihak KKM mengambil kesempatan ini untuk menyarankan masyarakat supaya tidak mempercayai spekulasi dan fitnah yang dikeluarkan segelintir pihak tertentu bagi mengelakkan kekeliruan serta salah faham,” katanya.


Tiada ulasan: