Jumaat, 31 Ogos 2018

Penjajah dan paderi ke Tanah Melayu

 
    Kuasa barat datang berbondong-bondong ke dunia timur tidak hanya membawa serdadu yang lengkap bersenjata.

Mereka datang bersama pelukis, saintis, ahli georgrafi, ahli botani dan segala kepakaran yang mereka miliki.

Justeru salah satu kelebihan kuasa barat yang datang ke timur ialah, mereka mampu menulis setiap penemuan sehingga dijadikan rujukan semua orang.

Dalam mencari sejarah di sebalik nama Malaysia, rahsia ini dapat ditemui, antaranya daripada catatan ahli botani dan geografi barat.

Nama Malaysia juga ditemui dalam catatan George Samuel Earl, seorang ahli etnologis berbangsa Inggeris. Beliau telah memperkenalkan istilah "Malayunesia" pada 1850 yang merujuk kepada kepulauan Indonesia pada hari ini.

Penemuan-penemuannya digunakan oleh Charles Darwin and Alfred Russel Wallace dalam kajian biogeografi. Seperti kebanyakan pegawai atau pengembara Barat, mereka memberi nama kepada haiwan, tumbuh-tumbuhan dan tempat yang mereka temui.

Kemudian ia dicatat sama ada di dalam nota peribadi atau diterbitkan akhbar, jurnal atau buku.

Catatan mereka adalah tentang pelbagai pokok dan tumbuh-tumbuhan yang hidup merata di bumi subur ini. Ia tidak terhenti setakat itu sahaja. Ia juga adalah catatan yang memiliki nilai politik yang sangat bermakna kepada orang yang mahu berfikir dan memiliki otak di kepala.




Earl (gambar) telah mengajukan dua pilihan nama - Indunesia atau Malayunesia - yang merujuk alam Melayu karena sebahagian besar ras di wilaya itu ialah Melayu.

Tambahan perkataan "sia" di hujung ungkapan Indun dan Malay itu adalah perkataan Latin-Greek yang bermaksud "pulau". Cadangan beliau dicatatkan di majalah ilmiah tahunan Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia (JIAEA).

Majalah itu dikelolakan oleh James Richardson Logan (1819-1869), di Singapura. Pada halaman 66-74, JIAEA Volume IV terbitan 1850, Earl menulis artikel On the Leading Characteristics of the Papuan, Australian and Malay-Polynesian Nations.




Logan (gambar) mencatatkan:
“… the inhabitants of the Indian Archipelago or Malayan Archipelago would become respectively Indunesians or Malayunesians.”(halaman 71).

Penggunaan nama Malaysia juga telah direkodkan dalam akhbar The British North Borneo Herald bertarikh 1 Januari 1889 melalui laporan bertajuk Geographical Notes in Malaysia and Asia oleh J E Tenison-Woods yang berkisah mengenai perjalanannya ke Semenanjung Tanah Melayu, Labuan, Brunei, Sandakan dan Sulu sekitar 1883 hingga 1886 (Utusan Malaysia, Nama Malaysia Sebelum Merdeka: 27 Sept 2009).

Tenison-Woods pernah ke Melaka, Pulau Pinang, Selangor dan Perak dalam misinya sebagai seorang pengembara, geologis, ahli geografi dan penyebar Kristian di alam Melayu.

Jurutulis kepada Raffles

Sebelum itu, Arkib Sabah merekodkan satu artikel dari akhbar The British North Borneo Herald (BNBH) bertarikh 1 Julai 1929 mengenai bunga-bungaan di Sabah yang dirujuk nama kawasan tu sebagai “Malaysia”.

Dalam sejarah persuratan dan kesusasteraan Melayu, tulisan Abdullah Munsyi selalu dijadikan sebagai mercu tanda pemodenan alam Melayu.

Beliau bertugas sebagai jurutulis dan teman kepada Stamford Raffles namun pada masa sama banyak membantu kerja-kerja penyelidikan gabenor Singapura itu terutama dalam bidang sosiobudaya.

Raffles banyak dikenali dalam buku sejarah sebagai pembuka Singapura, walaupun ia terang-terangan satu penyelewengan, juga kecurangan dalam sejarah.

Abdullah Munsyi ialah antara orang yang bertanggungjawab menterjemah Bible ke dalam bahasa Melayu.

Abaikan motif sebenar beliau membuat kerja tersebut tetapi yang lebih penting dalam konteks perbincangan ini ialah, paderi Kristian berperanan dalam mencatat sejarah tanah ini.




Kebanyakan paderi yang dihantar ke timur mempunyai tanggungjawab berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dengan orang lain melalui catatan peribadi.

Jika diselongkar catatan-catatan mereka, ternyata banyak kebenaran sejarah tanah air akan ditemui. Ia hanya memerlukan kajian yang lebih menyeluruh berbanding menghukum semua paderi ini akan masuk ke neraka!

Panduan untuk paderi

Salah satu contoh buku yang mempunyai nilai tinggi sebagai sebuah naskhah bermakna dalam memahami makna negara kita ialah yang bertajuk Light in the East: India, Philippines and Malaysia.

Buku ini merupakan tulisan Bishop J M Thoburn yang diterbitkan oleh Cranston & Curts, Hunt & Eaton pada 1892 di Cincinnati, New York.

Paderi itu dipilih sebagai mubaligh Kristian di India dan bahagian alam Melayu. Beliau bukan saja bertanggungjawab menyebar agama tetapi juga memberi panduan sosiobudaya kepada masyarakat yang ditemui.

Tulisan Thoburn sangat penting sebagai panduan kepada paderi-paderi baru yang akan menyambung kerjanya di sebelah timur.




Sebuah buku yang bertajuk Imperial Democracy. Dutch Colonizer in Malaysia - Annexation of the Philippines tulisan John J Valentine selaku Presiden of Wells Fargo & Company diterbitkan di San Francisco, AS pada 18 Febuari 1899.

Inilah kelebihan orang Barat, mereka bukan sekadar berdagang, menjadi kakitangan kolonial atau pengembara tetapi tidak lupa membuat catatan sepanjang mereka merantau.

Catatan-catatan mereka itulah yang menjadi sumber rujukan ramai, tidak sekadar di universiti tetapi juga di mahkamah, bagi menyelesaikan masalah pertindihan persempanan wilayah.

Kritik kelemahan Belanda

Buku tulisan Valentine itu menyebutkan tanah jajahan Belanda di Jawa sebagai Malaysia.

Di bawah tajuk Dutch Colonizer in Malaysia sebanyak 24 muka surat, Valentine mencatatkan bahawa Belanda melarang orang Jawa menunaikan haji di Mekah kerana dikuatiri kepulangan mereka akan mencabar kekuasaan penjajah itu.

Diterangkan juga tentang kesuburan tanah Jawa dan kerajinan masyarakat Jawa.

Kelebihan ini telah digunakan oleh Belanda memeras khazanah orang tempatan dengan cukai yang tinggi. Beliau juga mencatatkan istilah ‘Malaya’ - yang dirujuk sebagai Semenanjung Malaysia pada hari ini.

Secara keseluruhan beliau mengkritik kelemahan pentadbiran Belanda di tanah jajahannya itu.

AS pada masa itu telah mempunyai tapak di Filipina dan agak terkebelakang dari segi peluasan pengaruhnya di Asia Tenggara. Ketika itu, Belanda menguasai sebahagian besar kepulauan Indonesia sekarang, manakala British di Semenanjung Tanah Melayu, Bornoe dan Burma.

Perancis pula menguasai Indochina.

Oleh kerana itu, tulisan-tulisan penulis AS itu lebih mengkritik polisi pentadbiran kuasa Eropah lain. Penulis itu termasuklah Valentine dan kemudian selepas itu Rupert Emerson, Fay-Cooper Cole dan lain-lain lagi.




Buku itu menceritakan tentang suasana sosiobudaya tempat tersebut sebagai panduan kepada para paderi lain yang akan berkhidmat di kawasan tersebut.

Selain itu John Russel Denyes yang merupakan seorang paderi menulis buku bertajuk Malaysia Mission of Methodist Episcopal Church pada 1905.

Buku itu diterbitkan oleh Open Door Emergency Commision, Missionary Society of Methodist Epiceopal Church yang beralamat di 150 Fifth Avenue, New York.

Ia menerangkan tentang ajaran Mohammedansm sebagai agama yang dianuti oleh penduduk Melayu di kawasan kajian.

Namun terdapat sesetengah yang masih mempercayai animisme dan kuasa semangat.

Penulis juga menceritakan tentang kepercayaan dan agama kaum-kaum lain seperti Cina, Dayak dan sebagainya.

Siri 1: Sejarah nama negara kamu
Siri 2: Melayu dalam peta-peta lama


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas dan penulis buku serta esei.

Tiada ulasan: