Sinar Harian /ASTRO AWAN
KERAJAAN Kelantan berharap atlet negeri ini dapat membawa imej patuh syariah ketika bertanding dalam Sukan Malaysia (Sukma) XIX Perak 2018, bermula 11 September ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Zuraidin Abdullah berkata, elemen tersebut bersesuaian dengan dasar kerajaan negeri yang menitik beratkan penutupan aurat ketika melaksanakan aktiviti bersukan.
“Imej (tutup aurat) ini macam biasa, kita nak semua atlet mempraktikkan disiplin menerusi sukan masing-masing. Sebenarnya perkara ini bukan asing, kalau tahun 1960 hingga 70’an dulu mungkin janggal tetapi sekarang ini orang sudah boleh terima.
“Kalau tengok ramai atlet yang menutup aurat berjaya di peringkat global, jadi kita harap budaya ini berterusan. Rasanya bukan Kelantan sahaja, negeri lain pun sama kerana ia sudah menjadi ikutan di peringkat nasional,” katanya kepada pemberita pada Program Kem Motivasi dan Penyerahan Bendera Negeri di Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan bendera kepada Ketua Kontinjen, Datuk Zamri Ismail mewakili 358 peserta termasuk atlet dan pegawai yang membawa cabaran Kelantan ke temasya dwitahunan itu.
Kelantan yang menyertai 25 daripada 29 jenis sukan dipertandingkan meletakkan sasaran membawa pulang 17 pingat emas menerusi angkat berat, muay, tinju, silat, ragbi dan kriket.
Sementara itu, Zamri memberitahu, kem motivasi selama dua hari itu bertujuan memperkukuhkan daya ketahanan mental semua atlet ketika mereka kini memasuki fasa terakhir latihan sebelum menghadapi kejohanan tersebut.
“Kita memberi perhatian kepada usaha mencari kesepakatan supaya atlet tidak hilang fokus pada saat-saat akhir. Kadang kala kita bimbang juga kerana persiapan dibuat begitu lama tetapi tiba hari pertandingan atlet hilang tumpuan.
“Dalam masa sama, kita juga berharap para atlet dapat menunjukkan disiplin tinggi, jaga nama baik dan tidak melakukan perkara yang boleh menjatuhkan imej kontinjen negeri,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan