Sebuah badan penyelidikan dasar awam menasihatkan kerajaan berhati-hati terhadap cadangan cukai soda kerana masalah obesiti tidak dapat diselesaikan dengan hanya bergantung kepada cukai memandangkan minuman soda bukan satu-satunya penyumbang terhadap masalah obesiti.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata, keluarga berpendapatan rendah yang membelanjakan sebahagian wang ke atas minuman soda sebagai sumber tenaga murah akan terjejas dengan pelaksanaan cukai itu.
Katanya, kajian dan pengalaman di negara lain yang melaksanakan cukai sedemikian, seperti Chile, Mexico dan United Kingdom (UK), menunjukkan cukai soda mempunyai kesan jangka pendek serta panjang.
“Untuk jangka pendek, pengguna muda (berusia 13 hingga 30 tahun) dengan latar belakang sosial ekonomi berlainan kemungkinan besar akan mengurangkan pengambilan gula sehingga 80% berbanding purata pengguna, dengan beralih kepada minuman kurang gula.
“Orang lebih tua dan mereka yang mengamalkan diet bergula tinggi berkemungkinan tidak mengubah tabiat kerana mereka sudah mempunyai pilihan sendiri untuk gula dan tidak sensitif terhadap kenaikan harga.
“Dalam jangka panjang, situasi itu akan menjadi normal dan pengguna mungkin membeli minuman soda sama, tetapi membayar harga lebih mahal.”
Beliau mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini yang berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan cukai soda bagi menggalakkan kehidupan lebih sihat dan mengurangkan pengambilan gula yang boleh menyebabkan penyakit kencing manis.
Azrul berkata, cukai itu mungkin berjaya mencapai sasaran mengurangkan pengambilan gula bagi satu kumpulan khusus, tetapi kesannya tidak besar terhadap kumpulan lebih besar.
“Jika mereka beralih atau meningkatkan pengambilan minuman bergula seperti teh tarik atau kopi susu, maka kesannya mungkin hilang.
“Oleh itu, keberkesanan cukai soda dalam mengurangkan masalah obesiti bercampur-campur.”
Katanya, perniagaannya seperti kedai kopi dan runcit akan terjejas dalam jangka pendek, tetapi keadaan mungkin pulih selepas kenaikan kos diselaraskan dan menjadi normal.
Azrul mencadangkan cukai itu dilaksanakan ke atas pengeluar dan bukannya di peringkat peruncit, seperti di UK.
Katanya, minuman dengan kuantiti gula tertentu bagi setiap 100ml perlu dikenakan kadar cukai khusus untuk setiap liter.
“Ini akan mendapat hasil yang dikehendaki untuk pengeluar mengambil inisiatif dan mempunyai insentif mengurangkan kandungan gula dalam produk mereka untuk mengelak dikenakan cukai.
“Hasil pendapatan yang dikutip akan disalurkan untuk membiayai program kesihatan bagi menangani penyakit tidak berjangkit (NCD), khasnya kencing manis dan faktor risiko seperti obesiti.”
Katanya, masalah obesiti tidak dapat diselesaikan dengan hanya bergantung kepada cukai kerana ada penyumbang lain terhadap masalah itu.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengutamakan pengetahuan kesihatan dan program pencegahan NCD untuk mendidik serta mewujudkan kesedaran rakyat terhadap pilihan sihat dan tingkah laku berpengaruh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan