Khamis, 30 Ogos 2018

Kedai Harapan ganti KR1M – Saifuddin

Nizam Zain

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang diperkenalkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini akan dijenamakan semula bagi memastikan matlamat asalnya menangani kos sara hidup rakyat tercapai.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan Kedai Harapan itu akan menawarkan harga kompetetif rendah kepada rakyat khususnya golongan B40.

“Kerajaan sekarang, apa yang dimulakan dengan baik, kebaikan sampai kepada rakyat, contohnya Majlis Sara Hidup satu inisiatif kerajaan lepas, cuma tak sempat dilaksanakan

“Bila kita dapati isu rakyat itu masih berlegar isu sama, saya memilih untuk mengangkat semula kepada Jemaah Menteri dan menerangkan akhirnya dipersetujui untuk kita laksanakan, kita aktifkan semula.

“Begitu juga KR1M yang ada dua fasa, model pertamanya ada beberapa kelemahan,” katanya pada sidang Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah kemungkinan KR1M akan diteruskan dan diganti dengan Kedai Harapan susulan penerimaan rakyat khususnya di luar bandar amat menggalakkan.

Saifuddin Nasution berkata, antara pembaharuan bakal dilakukan ialah tidak mengekalkan dua pemain utama di sebalik kedai rakyat sebelum ini dan dibuka kepada pihak lain.

“Keputusannya kita masih meneruskan tapi tidak mengekalkan dengan dua pemain utama, kita akan buka kepada pemain lain.

“Pemilihan pemain dan lokasi perniagaan ini akan ditentukan berdasarkan pertimbangan perniagaan, mempunyai keupayaan kewangan dan pengalaman,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: