Rabu, 29 Ogos 2018

Semua 92 plaza tol PLUS selamat digunakan

Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani
Semua 92 plaza tol PLUS selamat digunakan
Siling Plaza Tol Bukit Raja yang runtuh akibat angin kencang serta ribut pada Jumaat. -Gambar fail/Bernama
 
PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menjalankan pemeriksaan terperinci di semua 92 plaza tol kendaliannya di seluruh negara.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata walaupun terdapat beberapa plaza tol yang perlu ditambah baik, namun kesemuanya berada dalam keadaan yang baik pada ketika ini.

“Kami juga telah membuat pemeriksaan yang serupa di semua plaza tol untuk memastikan integriti yang ditetapkan.

“Buat masa ini, kami dapat beri kepastian bahawa integriti plaza tol berada dalam keadaan baik. Namun, ada plaza-plaza tol yang perlu diadakan penambahbaikan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan pelancaran Kempen Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018 di Persada PLUS di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian angin kencang serta ribut pada Jumaat hingga menyebabkan siling Plaza Tol Bukit Raja runtuh.

Katanya, kejadian itu adalah sesuatu yang luar biasa.

Namun, tindakan segera telah diambil pihaknya dan plaza tol tersebut dibuka sepenuhnya bagi semua laluan pukul 4 pagi Sabtu.

Sementara itu, ditanya berkenaan langkah menghapuskan tol di negara ini, jelas Azman pihaknya masih mengadakan perbincangan bersama kerajaan.

“Perkara ini sedang dalam perbincangan bersama dengan Kerajaan. Kami dalam perbincangan untuk mencapai satu kata sepakat untuk kepentingan semua.

“Butiran lanjut saya tidak dapat perincikan buat masa ini. Apa yang boleh saya katakan perbincangan masih berjalan lagi,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sebarang tempoh bagi perbincangan itu dijalankan.

Perjanjian konsesi bagi PLUS yang disemak semula pada 2011 dijadual berakhir pada 2038.

Tiada ulasan: