PAS tidak pernah meminggirkan kaum lain dalam sejarah perjuangan politiknya, kata calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Halimah Ali.
Beliau berkata, dakwaan pihak tertentu yang melabelkan PAS sebagai parti ekstrem adalah tidak benar serta propaganda semata-semata.
“PAS sejak dulu lagi memberi perhatian kepada semua pihak termasuk kaum Cina dan India. Ini kerana Islam merupakan agama yang adil.
“Pengundi di Seri Setia boleh menilai prestasi saya ketika menjadi ADUN Selat Klang yang mana kaum Cina dan India di beri perhatian serta diberi layanan seadil-adilnya.
“Saya juga berjaya menyesuaikan diri dalam kalangan masyarakat di Pulau Ketam yang terdiri daripada 99 peratus masyarakat Cina,” katanya pada sidang media di Hotel Tabung Haji, Petaling Jaya pada Rabu.
Halimah berkata, beliau yakin kaum Cina dan India sudah dapat mengenali perjuangan PAS serta menolak cubaan pihak tertentu yang cuba memburukkan imej parti itu.
“Ramai mendakwa kami ekstrem dan ‘potong-potong’, jadi orang Cina agak tidak terbuka tetapi mereka sudah didedahkan dengan perjuangan saya iaitu siapa yang paling mampu membawa suara rakyat kalau bukan pembangkang,” katanya.
PRK DUN Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia di Hospital Putrajaya, 2 Ogos lalu akibat barah usus.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin menang kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan