Selasa, 28 Ogos 2018

Polis ambil keterangan Musa di hospital, kata peguam

 
Amer Hamzah Arshad berkata, anak guamnya masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya.


Peguam, Amer Hamzah Arshad berkata, polis mengambil keterangan Musa Aman minggu lalu.

PETALING JAYA: Polis sudah mengambil keterangan bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman sebanyak 2 kali susulan laporan dibuat Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkaitan ugutan jenayah, kata peguamnya, Amer Hamzah Arshad.

Beliau berkata, keterangan itu dirakamkan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, di mana Adun Sungai Sibuga itu sedang menerima rawatan.

“Musa Aman sudah memberikan kerjasama kepada polis. Rakaman percakapan sudah dibuat pada Khamis dan Jumaat lalu.

“Musa sedia bekerjasama lagi jika diperlukan. Polis sudah jalankan tugas mereka dengan profesional,” katanya kepada FMT hari ini.

Juhar membuat laporan polis terhadap Musa pada 14 Mei lalu, dipercayai berkaitan ugutan jenayah selepas upacara angkat sumpah jawatan ketua menteri dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di depan Juhar pada 10 Mei lalu, selepas memperoleh majoriti mudah.

Bagaimanapun, Datuk Seri Shafie Apdal yang juga presiden Parti Warisan Sabah dilantik sebagai ketua menteri dan mengangkat sumpah di depan Juhar 2 hari kemudian selepas beberapa Adun Barisan Nasional (BN) berpaling tadah.

Bekas pengerusi BN Sabah itu dilapor meninggalkan Malaysia pada 16 Mei lalu untuk menjalani rawatan di London dan beliau tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada 21 Ogos lalu.

Pada 1 Ogos lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, kertas siasatan berhubung kes laporan polis membabitkan Musa hampir siap dan sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Tiada ulasan: