Isnin, 27 Ogos 2018

Mengapa Bersatu tak popular?


PROF DR AHMAD ATORY HUSSAIN
PROF DR AHMAD ATORY HUSSAIN
 
 
SHAH ALAM - Faktor kekalahan Bersatu pada PRU14 di Kelantan dan Terengganu adalah kerana parti itu tidak dikenali secara dekat oleh pengundi.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, Bersatu masih dianggap sebagai parti baharu dan strategi menggunakan logo PKR turut mempengaruhi kekalahannya.

“Saya bersetuju bahawa kekalahan Bersatu di ke dua negeri ini  mungkin disebabkan mereka tidak gunakan logo sendiri dan menyebabkan rakyat di kampung tidak mengenali Bersatu di mana sebelum ini mereka hanya kenal Pas dan Umno sahaja.

“Sebab budaya orang Melayu di mana-mana pun, kalau tak kenal maka tak cinta, maknanya mereka tak kenal bersatu dan tak cinta untuk pilih parti itu,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sebelum ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan dalam satu wawancara portal Malaysiakini, bahawa Bersatu mampu mencatatkan prestasi yang lebih baik jika dibenarkan menggunakan logo sendiri pada PRU14 lalu.

Katanya, walaupun keputusan PH menggunakan logo PKR  membuahkan hasil di pantai barat, ia tidak memberi kesan serupa di pantai timur.

"Masalahnya adalah kita sepatutnya bertanding menggunakan logo PH tetapi tidak boleh. Kita terpaksa guna logo PKR dan faktor ini agak menutup keberadaan calon parti kita.

"Bersatu adalah parti Melayu dan orang Melayu di kerusi luar bandar dijangka akan mengundi parti Melayu. Bagi mereka yang menolak untuk mengundi Umno...mereka nampak Pas," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Atory turut berkata, PH khususnya Bersatu mampu mencapai prestasi yang baik di kedua negeri tersebut pada pilihan raya umum akan datang namun ia juga bergantung kepada kerja kuat mereka.

“Untuk menawan pengundi di ke dua negeri tersebut, bukanlah sesuatu yang mudah malah memerlukan kerja keras kerana bagi saya pengundi di sana seperti jinak merpati.

“Jika cara menjinakkannya tidak betul, maka Bersatu mahupun PH tidak akan dapat sokongan sebaliknya pengundi di sana akan terus kekal bersama Pas kerana mereka telah selesa walaupun tiada sebarang pembangunan dibawa,” katanya.

Tiada ulasan: