Jumaat, 31 Ogos 2018

SST: CASSA jangka berlaku kekurangan barangan tertentu

Wartawan MalaysiaGazette

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George meminta kerajaan menjelaskan tentang pelaksanaan SST dan sejauh mana kesannya kepada rakyat.
Dr Jacob George

KUALA LUMPUR – Kurang 24 jam lagi pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) memaklumkan kemungkinan berlaku kekurangan bekalan barangan disebabkan para peniaga berhati-hati dengan sistem percukaian tersebut.

Meskipun SST bukan cukai baharu tetapi para peniaga runcit terutamanya masih keliru dengan pelaksanaan cukai berkenaan terutama membabitkan cukai yang dikenakan terhadap barang-barang.
Ia adalah hasil tinjauan (CASSA) di seluruh negara.

Presidennya, Datuk Dr Jacob George berkata, disebabkan kekeliruan itu para peniaga tidak berani untuk membuat pelaburan seperti biasa kerana dikhuatiri akan mengalami kerugian.

Menurutnya, masalah itu berlaku kerana peruncit mendakwa mereka tidak mendapat atau didedahkan dengan maklumat terperinci tentang SST.

Malah, beliau mendakwa tidak ada pertemuan antara kerajaan atau agensi-agensi untuk menjelaskan pelaksanaan SST secara terperinci kepada komuniti perniagaan itu, selain mendapatkan maklumat dari laporan media sahaja.

“CASSA dimaklumkan begitu oleh peruncit-perucit. Keadaan tidak sama seperti mana semasa kerajaan terdahulu mahu melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang mana persediaan cukup rapi dan tersusun.

“Lebih menyukarkan apabila Menteri-Menteri dan Jabatan Kastam saling membuat kenyataan yang berbeza dan ada kalanya makluman yang diberikan silap dan dibetulkan semula,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Malaysia akan melaksanakan SST mulai esok selepas Kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan pelaksanaan GST bagi memenuhi janji manifesto.

GST yang dilaksanakan pada 1 April 2015 telah menjana pendapatan negara sebanyak RM42 juta setahun namun sistem percukaian yang dilaksanakan di lebih 170 buah negara itu didakwa punca kenaikan kos sara hidup penduduk negara ini.

SST yang berkuatkuasa esok mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan antara 5 hingga 10 peratus ke atas 5,443 jenis barang.

Antara barangan yang dijangka mengalami kekurangan bekalan adalah barangan pengguna bergerak pantas (FMCG).

Oleh yang demikian, ada kedai-kedai sudah mengalami kekurangan stok.

“Kekurangan bekalan ini mungkin berlarutan antara seminggu atau dua minggu kerana ia membabitkan pelaburan, pengagihan dan logistik,” ujarnya yang mengakui barangan bukan keperluan asas dijangka terjejas bekalannya.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di barangan bakeri atau makanan import seperti produk tenusu, kekacang mengalami kekurangan stok.

Jurujual mendakwa kekurangan bekalan itu bagi membolehkan peruncit membuat penyelarasan harga.

Namun, kebanyakan jurujual tidak dapat mengulas mengapa perlunya mengosongkan rak, sedangkan SST bermula tengah malam ini dan masih sempat untuk menukar harga baru memandangkan kedai dibuka pagi esok. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: