Isnin, 27 Ogos 2018

Azmin: Kongres masa depan bumiputera 1 Sept ini

MALAYSIAKINI

   

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) akan menganjurkan Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara 2018 (KBN 2018) pada 1 September 2018 bagi membantu Putrajaya merangka agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera.

"Kongres ini bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan menyampaikan ucaptama disusuli dengan sesi dialog bersama Perdana Menteri berhubung masa depan bumiputera dan negara.

"Kongres ini juga merupakan salah satu usaha serta engagement kerajaan dengan pelbagai pihak berkepentingan bumiputera bagi menyuarakan pandangan dan idea baru secara konstruktif di samping mengenalpasti fokus bidang pertumbuhan baharu untuk diceburi oleh bumiputera, di samping menjalinkan kerjasama strategik pelbagai pihak bagi menyokong agenda pembangunan bumiputera," kata kementerian dalam suatu kenyataan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata KBN 2018 akan mengenal pasti bidang-bidang untuk dimajukan masyarakat bumiputera disamping menjalin hubungan strategik dengan kaum-kaum lain bagi mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi.

"Sehubungan itu, adalah menjadi harapan kerajaan agar Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara atau KBN 2018 ini akan memberi fokus baharu yang lebih jelas dalam memacu dan memperkasakan agenda pembangunan bumiputera ke tahap yang lebih baik dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan atau stakeholders bumiputera tanpa meminggirkan kepentingan kaum-kaum lain di negara ini," katanya lagi.

Beliau berkata kongres itu perlu menghasilkan formula penyelesaian bagi membantu Putrajaya merangka strategi jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mencapai matlamat tersebut.

"Adalah diharapkan agar kongres ini dapat menghasilkan resolusi yang boleh membantu kerajaan merangka rancangan dan strategi jangka pendek (quick win), sederhana dan panjang serta kaedah bagaimana ia boleh dilaksanakan secara berterusan dan konsisten supaya halatuju agenda bumiputera lebih jelas dan berkesan.

"Suntikan nafas baharu akan diberikan agar agenda pembangunan bumiputera kekal relevan dalam agenda pembangunan nasional.

"Fokus terhadap perubahan minda menerusi penerapan nilai-nilai positif amat penting untuk pembentukan komuniti bumiputera yang berjiwa besar, lebih berdaya tahan dan berdaya saing serta mampu bergerak jauh tanpa kebergantungan terhadap bantuan Kerajaan semata-mata, sekaligus menjadikan bumiputera sebuah komuniti yang progresif dan dihormati," katanya.

KBN 2018 akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menurut janji ke-30 manifesto PRU14 HARAPAN, gabungan itu berjanji memberi perhatian khas terhadap pembangunan ekonomi masyarakat Melayu dan bumiputera.

Bagaimanapun, manifesto itu turut menegaskan HARAPAN akan membantu semua usahawan rakyat Malaysia yang layak bersaing setaraf di peringkat pasaran Asean.


Tiada ulasan: